Rabu, 30 Jun 2021 | 10:23pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Khidmat kaunter agensi Kementerian Pengangkutan mula operasi esok

KUALA LUMPUR: Semua agensi di bawah Kementerian Pengangkutan akan membuka perkhidmatan kaunter mulai esok dengan beberapa ketetapan selaras dengan pengumuman yang dilakukan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali semalam.

Kementerian itu berkata urusan yang dibenar hanyalah membabitkan urus niaga yang tidak dapat dilakukan secara dalam talian dan perlu dilakukan secara janji temu, manakala walk-in tidak dibenarkan.

"Selain itu kapasiti petugas di kaunter juga tidak melebihi 50 peratus," demikian menurut kenyataan kementerian hari ini.

Menurut kementerian itu, bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), semua perkhidmatan kaunter untuk transaksi berkaitan kenderaan komersial dan persendirian, akan beroperasi kecuali perkhidmatan yang boleh dilakukan secara dalam talian menerusi portal awam mySIKAP atau rakan strategik JPJ.

Secara keseluruhan, terdapat 38 transaksi yang boleh dilakukan dalam talian melalui portal mySIKAP, namun 11 lagi transaksi seperti tempah nombor pendaftaran dan maklumat pemilik memerlukan kaedah pendaftaran melalui pengesahan biometrik (sekali daftar) bagi meneruskan transaksi melalui portal awam mySIKAP.

Orang ramai digalakkan merujuk Facebook rasmi JPJ @jabatanpengangkutanjalanmalaysia untuk mendapatkan maklumat lanjut serta senarai Cawangan JPJ berdekatan bagi membuat janji temu.

Bagi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), semua permohonan boleh dibuat melalui janji temu ini kecuali urusan kad pemandu dan janji temu boleh dilakukan melalui portal APAD iaitu https://www.apad.gov.my/temujanji/index.html dengan akses bermula 4 petang.

"Bagi permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) pula, permohonan hendaklah dibuat secara terus melalui e-mel ke lps@apad.gov.my

"Dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN), pengusaha dan syarikat tidak terikat dengan keperluan untuk mengemukakan permohonan memperbaharui lesen dalam tempoh 90 hari sebelum tamat tempoh lesen," katanya.

Orang ramai digalakkan merujuk laman Facebook APAD, @APADchannel untuk maklumat lanjut.

Sementara bagi Jabatan Laut (JLM) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, masing-masing terdapat tujuh transaksi yang boleh dilakukan di kaunter melalui janji temu.

Keterangan lanjut untuk janji temu boleh didapati menerusi hotline 03 3346 7777/7620 dan e-mel khidmatpelanggan@marine.gov.my bagi (JLM), manakala untuk LPKP pula talian hotline yang disediakan ialah 088 238244 / 245 dan e-mel aduan@lpkpsabah.gov.my.

Untuk LPKP Sarawak, hanya enam transaksi boleh dilakukan di kaunter secara janji temu, antaranya urusan permohonan baharu /tambahan lesen kenderaan komersial dan memperbaharui lesen kenderaan komersial.

Keterangan lanjut untuk membuat janji temu boleh dilakukan menerusi talian hotline: 082 412073/ 413303 atau emel : temujanji@lpkpsarawak.gov.my.

Bagi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) pula, tarikh janji temu boleh diperoleh secara dalam talian iaitu www.mypuspakom.com.my atau talian khidmat pelanggan 03-5101 7000.

Kementerian itu pada masa yang sama turut mengingatkan orang yang berurusan dengan agensi terlibat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, antaranya memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman. - BERNAMA

Berita Harian X