Selasa, 29 Jun 2021 | 4:35pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Segerakan agihan peranti kepada pelajar B40

SEREMBAN: Kementerian Pendidikan diminta memastikan pengagihan komputer riba, tablet dan peranti kepada pelajar keluarga B40 melalui kerjasama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor korporat dilaksanakan dengan berkesan.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) Mohd Azizee Hasan, berkata langkah proaktif dan agresif itu penting bagi menjamin semua pelajar kumpulan itu tidak tercicir proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Laporan bahawa pengagihan alat peranti berkenaan kepada murid B40 setakat bulan ini hanya 40,290 unit dilihat belum mencukupi.

Pihak kementerian perlu memastikan ia dilunaskan secepat yang mungkin tanpa menanti tempoh yang lama.

"Langkah proaktif itu bagi menjamin keberkesanan pelaksanaan PdPR yang perlu diteruskan susulan fasa pertama kawalan pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang masih belum berakhir," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Azizee berkata, guru juga berhadapan kekangan dalam menjamin keberkesanan PdPR termasuk isu capaian jalur lebar yang lemah terutama membabitkan kawasan pinggir bandar dan pedalaman.

Beliau berkata, data kajian menunjukkan keberkesanan PdPR setakat ini khususnya berkait dengan kehadiran murid tidak mencapai 80 peratus, yang berpunca daripada pelbagai halangan berkenaan.

"Guru juga berdepan dengan kekangan persediaan lain dalam menjalankan PdPR khususnya mereka yang tidak mahir teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) selain berada di lokaliti akses internet yang rendah dan karenah murid dari pelbagai latar belakang sosio-ekonomi.

"Justeru, kita (i-Guru) berharap usaha vaksinasi kalangan guru dan murid perlu dipercepatkan bagi membolehkan sesi persekolahan bersemuka dapat dilaksanakan semula," katanya.

Mohd Azizee berkata, pihaknya turut berharap kementerian dapat membentangkan kajian berhubung keberkesanan PdPR.

Beliau berkata, ketika ini timbul rungutan pelajar semasa PdPR seperti lambakan kerja rumah, jadual yang padat, tempoh masa lama di skrin, kaedah pengajaran guru yang kurang menarik serta suasana persekitaran di rumah yang kurang efektif.

"Penyediaan satu manual pelaksanaan PdPR bagi ibu bapa dilihat baik dalam membantu mereka memantau anak-anak di rumah.

"Hal ini penting bagi mengelak isu 3M (membaca, mengira dan menulis) khusus bagi anak-anak pra-sekolah, Tahun Satu dan Tahun Dua.

"Kita perlu atasi isu literasi dan numerasi ini bagi mengelak berdepan dengan generasi murid yang tercicir pendidikan sekali gus boleh membantutkan pertumbuhan dan perkembangan kognitif, afektif dan psikomotor mereka," katanya.

Selain itu, beliau berkata, bangunan sekolah juga dilihat boleh digunakan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dalam melancarkan lagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Berita Harian X