Isnin, 28 Jun 2021 | 3:05pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Vaksin CanSino gelandangan, banduan, tahanan imigresen di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) akan memberi vaksin berdos tunggal Covid-19 seperti CanSino kepada gelandangan, banduan dan individu dalam tahanan imigresen di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata, pihaknya tidak mengabaikan golongan berkenaan dan suntikan akan diberikan sebaik sahaja bekalan vaksin diterima.

Beliau berkata, vaksin jenis sama turut diberikan kepada penduduk di kawasan pedalaman termasuk penempatan Orang Asli dan pulau dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Memang ada kumpulan tertentu yang kita anggap sesuai diberikan vaksin dos satu kerana kita bimbang sukar mendapatkan mereka untuk suntikan kali kedua sekiranya diberikan vaksin jenis dua dos.

"Kita memang sudah ada senarai yang akan diberikan vaksin jenis satu dos seperti CanSino namun ketika ini kita masih menunggu bekalan vaksin berkenaan kerana kita belum ada lagi bekalan itu.

"Apabila bekalan vaksin diterima, kita akan mulakan program ini dan pemberian vaksin satu dos bukan sahaja memudahkan pihak kita tetapi rakyat yang termasuk dalam kumpulan sasar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, Dr Nor Azimi berkata, pihaknya yakin sasaran 80 peratus imuniti kelompok dapat dicapai sebelum musim tengkujuh menjelang Oktober ini.

Katanya, sasaran itu mampu dicapai susulan pertambahan bekalan vaksin yang akan diterima pada bulan depan, selain pelbagai program turun padang dan pertambahan pusat pemberian vaksin (PPV) di Terengganu.

Berita Harian X