Isnin, 28 Jun 2021 | 2:56pm
Aminuddin (empat dari kanan) meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). FOTO NSTP/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Aminuddin (empat dari kanan) meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). FOTO NSTP/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

NS Sejahtera tawar kemudahan vaksin untuk sektor swasta, individu

NILAI: Mulai hari ini, kilang, syarikat perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini boleh mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 untuk pekerja mereka menerusi program NS Sejahtera.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata program berkenaan dikendalikan syarikat swasta, J&E Advanced Tech Sdn Bhd.

Katanya, ia terbuka kepada syarikat yang berminat secara sukarela mahu pekerja mereka divaksin dengan segala kos dibiayai syarikat mereka sendiri.

"Syarikat swasta yang mengendalikan program ini mendapat kelulusan kerajaan negeri, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 untuk membuat perolehan vaksin daripada Pharmaniaga Life science Sdn Bhd.

"Syarikat atau individu yang berminat untuk membuat pendaftaran dan mendapatkan maklumat lanjut tawaran vaksin itu boleh melayari laman web www.nssejahtera.com.my bermula hari ini," katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega pertama di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malek dan Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM, Prof Dr Muhammad Shamsir Mohd Aris.

Beliau berkata, data penerima vaksin daripada NS Sejahtera itu akan diselaraskan dengan MySejahtera bagi memastikan laporan data adalah lengkap dan tepat di peringkat kebangsaan.

"Kerajaan negeri berharap dengan inisiatif ini, ia dapat membantu kerajaan negeri mempercepat proses vaksinasi rakyat Negeri Sembilan, sekali gus bagi mencapai imuniti kelompok dengan lebih cepat.

"Sebagai permulaan pusat vaksinasi syarikat ini akan beroperasi di Dewan Ube Kawasan Perindustrian Nilai 3. Pihak swasta ini menyediakan segala kemudahan dan ia tidak membabitkan vaksin yang disediakan kerajaan.

"Saya difahamkan syarikat berkenaan akan menambah bilangan pusat vaksinasi, bergantung kepada permintaan sektor industri," katanya.

Aminuddin turut menegaskan harga bagi setiap dos dikendalikan pihak swasta ditentukan sendiri syarikat terbabit, termasuk kemudahan disediakan.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, Negeri Sembilan antara negeri yang tertinggi dari segi program vaksinasi yang mencecah 92.8 peratus.

"Setakat ini kita mampu melaksanakan program vaksinasi (delivery vaksin) sehingga 92.8 peratus iaitu antara negeri tertinggi.

"Walaupun kita menyasarkan 100 peratus, namun kita perlu simpan sedikit vaksin sebagai langkah keselamatan dan setakat ini terdapat 16,000 vaksin dalam simpanan," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat 94 PPV di Negeri Sembilan termasuk lima dibuka hari ini iaitu Dewan Majlis Perbandaran Jempol, Kompleks Sukan Komuniti Felda Palong 6, Dewan Orang Ramai Sendayan, Dewan Pusat Islam Rantau dan Dewan Besar Gemas.

"Dua lagi akan dibuka pada 2 Julai ini iaitu di Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah dan Kompleks Belia dan Sukan Paroi.

"Kita berharap pembukaan lebih banyak PPV dapat melancarkan lagi program vaksinasi di negeri ini, sekali gus merealisasikan sasaran 20,000 suntikan sehari pada bulan depan," katanya.

Berita Harian X