Ahad, 27 Jun 2021 | 8:41pm

Judi nombor haram cetus kluster baharu

KOTA KINABALU: Penjualan nombor ekor haram telah mencetuskan satu kluster baharu, Kluster Kuarters Bata Durok di Keningau, Sabah membabitkan jangkitan dalam komuniti, hari ini.

Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata penularan kes COVID-19 dari kluster terbabit membabitkan tiga mukim iaitu Lingkudau, Luagan dan Patikang.

"Kluster ini mula direkodkan oleh Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau melalui saringan pra-kemasukan wad terhadap kes indeks iaitu seorang lelaki tempatan berusia 69 tahun dari Taman Keningau Ville di Hospital Keningau pada 23 Jun lalu.

"Siasatan kontak rapat kemudian mendapati 11 lagi kes positif masing-masing dua kes pada 24 Jun dan sembilan kes pada 26 Jun menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 bagi kluster ini 12 kes.

Selain Kluster Kuarters Bata Durok, terdapat dua kluster lagi telah dikesan di Sabah iaitu Kluster Linau Kumpang di Kota Belud dan Kluster Tembok Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata jumlah kes harian COVID-19 hari ini kekal mencatatkan kes tiga angka.

Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 hari ini adalah 190 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 68,767 kes dan iada kes kematian direkodkan.

Berita Harian X