Khamis, 24 Jun 2021 | 3:48pm
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye

Pertingkat advokasi kesihatan mental

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi kerajaan lain perlu mempertingkatkan advokasi kesihatan mental supaya kesedaran mengenai masalah tekanan mental dapat diperluas.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ia disebabkan masalah itu kini agak membimbangkan berikutan ramai yang berdepan tekanan akibat kehilangan pekerjaan, masalah keluarga, masalah persekitaran dan kesempitan hidup.

Katanya, kejadian seorang lelaki yang nekad mengurung isteri dan anaknya di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini, akibat tekanan perasaan memberi gambaran serius mengenai tahap kesihatan mental dalam kalangan masyarakat hari ini.

"Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga boleh membantu dalam mendidik rakyat menguruskan emosi mereka ketika berdepan masalah dalam kehidupan dan dapat mengelakkan berlakunya insiden yang tidak diingini.

"Perkara ini jika tidak dipandang serius boleh membawa implikasi yang besar. Justeru, beberapa langkah penyelesaian harus diambil," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kelmarin, bomba menyelamatkan seorang wanita dan dua anaknya, yang dikurung suami dipercayai mengalami tekanan perasaan, di rumah mereka di Taman Nusa Intan, Senawang.

Lelaki itu dilaporkan kehilangan pekerjaan sebagai jurujual kereta sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

Baru-baru ini, KKM mendedahkan sebanyak 91.2 peratus daripada lebih 100,000 panggilan diterima daripada talian bantuan sokongan psikososial memerlukan sokongan emosi dan kaunseling.

Pada masa sama, Lam Thye turut mencadangkan supaya inisiatif kerajaan melalui Plan Strategik Kesihatan Mental 2020-2025 diperkasa dengan lebih efektif bagi memperkukuh promosi kesihatan mental dan mencegah masalah tekanan mental dalam kalangan masyarakat.

"Setiap pihak perlu mewujudkan pelbagai langkah untuk memperkasa masyarakat. Mereka yang berada di luar pengawasan KKM harus sama-sama memikirkan langkah yang boleh diambil untuk memastikan mereka yang berada dalam kawalan dan kawasan mereka sentiasa tidak dalam keadaan yang boleh mewujudkan tekanan mental.

"Media juga boleh memainkan peranan dengan memperbanyak program berkaitan kesihatan mental, antaranya melalui program temubual yang menjemput pakar berkaitan tekanan mental dan boleh membincangkan hal mengenai tekanan, stress serta nasihat kepada orang ramai untuk menangani isu ini," katanya.

Selain itu, beliau berkata, kempen seperti "Let's Talk Minda Sihat" perlu diteruskan dan diperbanyak sepanjang tahun ini, dengan membabitkan lebih ramai anggota masyarakat.

"Kita harus memastikan kesihatan mental kita berada pada tahap yang baik. Pengurusan emosi dan mental yang sihat sangat diperlukan kerana pandemik ini menjejaskan ramai orang pada masa ini.

"Dapatkan pertolongan jika anda berada dalam keadaan mental yang kurang menyenangkan. Kita jaga kita," katanya.

Berita Harian X