Rabu, 23 Jun 2021 | 10:21pm
Anggota polis dan bomba di lokasi kejadian seorang lelaki jatuh dari tingkat 10 Pangsapuri Seri Melur, Jalan Bagan Ajam, Butterworth hari ini. - Foto ihsan polis
Anggota polis dan bomba di lokasi kejadian seorang lelaki jatuh dari tingkat 10 Pangsapuri Seri Melur, Jalan Bagan Ajam, Butterworth hari ini. - Foto ihsan polis

Lelaki murung maut jatuh tingkat 10

BUTTERWORTH: Seorang lelaki yang dipercayai menghadapi kemurungan selepas gagal dalam perniagaan, maut selepas dikatakan terjun dari tingkat 10 Pangsapuri Seri Melur, Jalan Bagan Ajam, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata polis menerima panggilan seorang lelaki berusia 52 tahun yang juga pengerusi pangsapuri berkenaan pada jam 6.45 petang berhubung insiden itu.

Siasatan awal mendapati mangsa berusia 26 tahun memasuki kawasan pangsapuri berkenaan dengan menaiki motosikal melalui laluan utama.

"Kemudian mangsa dikatakan terus menaiki lif ke tingkat 10, duduk berlunjur di balkoni sebelum terjun. Akibatnya mangsa maut ekoran kecederaan parah dialaminya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorzainy berkata, soal siasat ke atas isteri mangsa yang juga berusia 26 tahun memaklumkan suaminya mengalami tekanan perasaan sejak beberapa hari lalu dan pernah menerima rawatan di sebuah klinik swasta, empat hari lalu.

,

"Mangsa mulai alami kemurungan selepas perniagaan yang diceburi gagal dan mengalami kerugian. Siasatan ke atas mayat mangsa tidak menemui sebarang elemen jenayah," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Berita Harian X