Rabu, 23 Jun 2021 | 9:02pm
Anggota Biro Politik cuma 8, selebihnya lantikan Zahid. Biro Politik kena beritahu MKT terlebih dahulu - Nazri Aziz. - Foto fail NSTP
Anggota Biro Politik cuma 8, selebihnya lantikan Zahid. Biro Politik kena beritahu MKT terlebih dahulu - Nazri Aziz. - Foto fail NSTP

'Ahmad Maslan cuba mengelat'

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan disifatkan sebagai 'mengelat' apabila mengatakan Biro Politik parti itu dianggotai 26 pemimpin bagi memberi gambaran desakan supaya Parlimen bersidang dalam masa 14 hari dibuat secara bersama.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata Ahmad tidak boleh menipu kerana berdasarkan Perlembagaan UMNO, biro itu sebenarnya dianggotai lapan pegawai tertinggi parti sahaja.

Jumlah 26 orang itu adalah termasuk Pengerusi Badan Perhubungan Negeri dan beberapa jawatan lain yang semuanya dilantik oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, katanya.

"Ahmad cuba mengelat dengan mengatakan Biro Politik terdiri daripada 26 orang. Ini sebenarnya termasuk Pengerusi Badan Perhubungan yang dilantik Presiden, yang mesra dengan dia dan pastinya akan menyokong apa sahaja keputusan.

"Biro Politik juga tidak boleh terus mengeluarkan kenyataan, mereka kena beritahu Majlis Kerja Tertinggi (MKT) terlebih dahulu," katanya kepada BH, hari ini.

Ahmad melalui Twitter malam tadi menyenaraikan 26 ahli Biro Politik yang membuat keputusan berkenaan desakan supaya Parlimen bersidang dalam masa 14 hari.

"Style DS @DrZahidHamidi ialah keputusan besar dibuat secara bersama," tulis Ahli Parlimen Pontian itu.

Sementara itu, Nazri mengingatkan Jawatankuasa Disiplin UMNO tidak boleh mengamalkan sikap pilih bulu walaupun membabitkan kesalahan yang dilakukan Presiden parti.

Katanya, dalam banyak kes sebelum ini, ahli-ahli biasa yang melanggar peraturan terus dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin dan perkara sama juga perlu dibuat terhadap Presiden apabila ada bukti jelas.

"Ini soal dispilin, kita tak boleh fikir kalau ambil tindakan yang betul ini, parti akan berpecah. Sebab Presiden pun ambil tindakan (pecat jawatan) Datuk Seri Shahidan Kassim dan Tan Sri Annuar Musa begitu sahaja.

"Kalau org lain buat salah, terus dipecat. Kalau dia (Presiden) sendiri buat salah macam mana," soalnya.

Semalam, Nazri menggesa jawatan Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO digantung dengan dakwaan telah melakukan tiga kesalahan seperti memberi kata dua supaya Parlimen bersidang dalam masa 14 hari tanpa merujuk kepada MKT dan ahli-ahli Parlimen UMNO terlebih dahulu.

Dakwanya, dua lagi bukti pelanggaran ketetapan parti ialah mengutus surat menyatakan sokongan semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri baharu kepada Yang di-Pertuan Agong dan kesahihan rakaman audio perbualan Ahmad Zahid bersama Anwar berkait Perhimpunan Agung UMNO 2020.

Ditanya adakah tindakan disiplin terhadap Ahmad Zahid boleh menjadi realiti, Mohamed Nazri menegaskan Perlembagaan UMNO menyatakan sesiapa yang membelakangkan keputusan parti maka dia boleh dicadangkan untuk diambil tindakan disiplin.

"Jawatankuasa Disiplin janganlah ikut telunjuk Presiden, mereka kena tengok betul-betul betapa seriusnya tindakan yang dilakukan. Perkara yang nyata ialah Presiden telah melakukan kesalahan membelakangkan keputusan parti dan sepatutnya Jawatankuasa Disiplin mesti panggil, bersidang dan ambil tindakan," tegasnya.

Menyifatkan kepimpinan UMNO kini berada dalam keadaan bercelaru, Mohamed Nazri, berkata masalah dalaman perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum sibuk bercakap perkara lain.

Sebagaimana diketahui umum, UMNO telah membuat ketetapan hala tuju kerjasama politik termasuk menolak Anwar dan DAP dalam Perhimpunan Agung 2020 tetapi Presiden telah bertindak sebaliknya.

"Orang pun tak tahu yang mana boleh percaya dengan UMNO ini? Banyak perkara ini ada kaitan dengan Ahli Parlimen, soal sokongan kepada siapa (sebagai Perdana Menteri) kena selesaikan dengan Ahli Parlimen UMNO.

"Kena duduk berbincang dengan 42 Ahli Parlimen UMNO, tidak boleh lagi buat keputusan bersendirian," katanya.

Berita Harian X