Sabtu, 19 Jun 2021 | 5:33pm

Keluarga bekas tentera bawah jambatan dipindahkan ke flat

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memindahkan tujuh sekeluarga yang tinggal di bawah Jambatan Loke Yew ke rumah transit di Flat Seri Johor.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, berkata keluarga itu dibawa menduduki rumah transit selama satu minggu sementara pihaknya berurusan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta agensi kerajaan lain.

"Ia adalah bagi memberikan kediaman lebih baik dan di samping anak-anak diberikan bantuan kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Melihat kepada keadaan rumah, saya tidak sangka ada yang hidup daif di bandar raya Kuala Lumpur dan ia bukan di pedalaman," katanya selepas mengadakan lawatan ihsan di tempat tinggal bekas askar, Suria Mohamad Hassan, 59.

Suria dan isteri, Azariyah Abd Aziz, 43, dan lima anaknya yang berusia tiga hingga 14 tahun menghuni 'rumah' usang sempit berdindingkan papan lapis dan tanpa bumbung di bawah jambatan terbabit kerana tidak mampu menyewa rumah yang lebih sempurna sejak November 2019.

Rina berkata, mereka yang menghuni rumah itu menggunakan dapur kayu tanpa bekalan elektrik.

Beliau menjelaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dengan kebajikan kanak-kanak yang masih bersekolah.

"Jadi kita memberikan bantuan segera dan apabila membuat semakan, keluarga ini tidak mempunyai rekod JKM.

"Kita tidak mahu Suria dan isterinya berputus asa tetapi pada masa sama, kemiskinan ini tidak diwarisi, berharap masa anak-anak lebih cerah," katanya.

Dalam pada itu, Rina akan mengarahkan JKM menyalurkan bantuan dan sokongan psikologi kepada keluarga berkenaan.

Terdahulu, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga dilaporkan akan memantau nasib pesara tentera dan memaklumkan, keluarga itu telahpun disantuni oleh JHEV ATM dan Baitulmal Wilayah Persekutuan minggu lalu.

Rina melawat keadaan keluarga Suria yang tinggal di bawah Jambatan Loke Yew sejak November 2019 - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Rina melawat keadaan keluarga Suria yang tinggal di bawah Jambatan Loke Yew sejak November 2019 - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Berita Harian X