Sabtu, 19 Jun 2021 | 5:12pm
Sidang Parlimen jika diadakan tidak lama lagi perlu jadi medan perkukuh kerajaan untuk tangani pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi. Ihsan Jabatan Penerangan
Sidang Parlimen jika diadakan tidak lama lagi perlu jadi medan perkukuh kerajaan untuk tangani pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi. Ihsan Jabatan Penerangan

Tidak perlu tukar kerajaan jika Parlimen bersidang

KUALA LUMPUR: Semua parti politik perlu mencapai kesepakatan untuk memastikan tidak berlaku usaha menukar kerajaan sekiranya takdir menentukan Parlimen bersidang dalam tempoh terdekat.

Beberapa pensyarah politik berpendirian, semua parti sepatutnya menunggu sekurang-kurangnya sehingga ancaman pandemik COVID-19 berakhir atau sasaran imuniti kelompok dicapai jika mahu berlaku perubahan pada kerajaan.

Mereka berpendapat, apa yang penting kesepakatan itu tidak tersasar dengan pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah yang perlunya pentadbiran kerajaan stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Kata mereka, pandangan dizahirkan Al-Sultan Abdullah supaya sidang Parlimen perlu diadakan segera tidak sepatutnya dijadikan platform untuk menumbangkan kerajaan.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir, berkata perkara tersirat di sebalik pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong ialah tidak harus ada pihak cuba menggoncang pemerintahan sehingga mencetuskan konflik.

Beliau berkata, pergolakan politik akan menyebabkan negara terjerat dalam konflik yang menyebabkan tumpuan menangani pandemik COVID-19 dan pemulihan ekonomi rakyat serta negara tersasar.

"Jangan ambil kesempatan menumbangkan kerajaan atau bermain politik kerana akhirnya akan menjadi pukulan teruk kepada imej dan reputasi ahli politik.

"Soal politik sudah tidak penting bagi rakyat kerana mereka sekarang bukan saja bergelut dengan COVID-19, bahkan ekonomi juga terancam. Lebih baik selesaikan dua masalah mendesak ini terlebih dulu," katanya kepada BH, hari ini.

Jeniri, berkata sekarang adalah masa pemimpin politik mendengar suara rakyat yang berkuasa memberikan mandat kepada mereka untuk berada di Dewan Rakyat.

"Sesiapa nak bermain politik atau memanipulasikan keadaan ini untuk tujuan kuasa, saya fikir mereka akan terima kesan dalam bentuk kecaman rakyat.

"Selepas pandemik COVID-19 reda atau kita semua berjaya mencapai imuniti kelompok, mungkin tahun depan kita boleh buat pilihan raya umum (PRU)," katanya.

Pensyarah politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata, sidang Parlimen sewajarnya menjadi platform berbahas dan mengambil langkah konsensus membantu kerajaan dan negara untuk pulih daripada pandemik COVID-19.

Tegasnya, tiada keperluan menukar kerajaan dalam situasi sukar ini dan sebarang perubahan biarlah ditentukan dalam PRU-15.

"Sebarang krisis politik tidak akan memberi apa keuntungan kepada rakyat. Hanya keegoan yang dipamerkan dan akhirnya memakan diri sendiri.

"Jangan lupa apa yang berlaku keika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah apabila ahli politik cukup yakin persaingan politik boleh menyelesaikan masalah. Hakikatnya ia jauh daripada kebenaran," katanya.

Pensyarah Kanan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff pula berkata, sudah tiba masa untuk semua pemimpin mengetepikan fahaman politik dan bersama-sama menyelesaikan permasalahan semasa.

Beliau berkata, beberapa parti seperti DAP dan UMNO menyatakan komitmen mereka untuk tidak membuat usul undi tidak percaya dan perkara itu sepatutnya menjadi pendorong kepada kerajaan lebih segera menasihatkan Agong untuk memanggil sidang Parlimen.

Beliau berpendapat, kerajaan perlu segera menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan tarikh persidangan Parlimen kerana ia memberikan gambaran kerajaan serius terhadap pandangan yang dizahirkan istana.

Berita Harian X