Sabtu, 19 Jun 2021 | 3:33pm

Masjid At-Taqwa Durian Burung projek perintis PPV di masjid

KUALA TERENGGANU: Lebih banyak masjid di seluruh negara akan dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) bagi memberi kemudahan kepada penduduk setempat, sekali gus mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata pembukaan PPV di masjid difokuskan kepada kawasan penduduk Melayu, terutama di kawasan pedalaman.

Katanya, masjid sangat dekat dengan umat Islam dan pembukaan PPV di rumah ibadat ini dapat menyakinkan segelintir masyarakat Melayu yang terperdaya dengan dakyah negatif berkaitan vaksin.

"Sebagai permulaan, Masjid At-Taqwa Durian Burung di Kuala Terengganu akan dijadikan projek perintis sebelum diperluaskan ke masjid lain di daerah lain.

"Kita merancang membuka sekurang-kurangnya satu PPV masjid di setiap daerah pada hujung minggu dengan sasaran 16,000 suntikan dos vaksin sebulan.

"Mungkin kalau daerah yang lebih besar dan berkepadatan penduduk tinggi seperti Kuala Terengganu, kita boleh buka dua PPV di masjid, namun semuanya tertakluk kepada bekalan vaksin yang diterima.

"Selain PPV awam, institut pengajian tinggi dan PPV bergerak atau sementara sedia ada, kita yakin pembukaan PPV di masjid ini dapat membantu meningkatkan lagi kapasiti pengagihan vaksin demi mencapai sasaran 80 peratus penduduk mendapat suntikan dalam PICK menjelang hujung tahun ini," katanya yang ditemui ketika meninjau PPV Masjid di Masjid At-Taqwa Durian Burung di sini, hari ini.

Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, PPV masjid di Kelantan yang dibuka sebelum ini bersifat sementara namun pembukaan PPV masjid di Terengganu lebih tersusun dan mempunyai prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, PPV masjid di Kelantan dikendalikan jabatan kesihatan negeri berkenaan manakala PPV masjid di Terengganu dikendalikan sepenuhnya oleh Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) dengan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) memberi bantuan teknikal dan pematuhan daripada SOP.

"Pembukaan PPV di masjid di Terengganu turut mendapat kerjasama MOSTI, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan beberapa NGO yang lain.

"Mereka di sini tidak dibayar atau menerima elaun harian dan melakukan secara sukarela untuk membantu negara demi mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok," katanya.

Anggota Unit Amal membantu mengusung warga emas, Che Minah Embong, 64, yang berkerusi roda ketika hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin di PPV Masjid At-Taqwa Durian Burung, Kuala Terengganu, hari ini. NSTP/Ghazali Kori
Anggota Unit Amal membantu mengusung warga emas, Che Minah Embong, 64, yang berkerusi roda ketika hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin di PPV Masjid At-Taqwa Durian Burung, Kuala Terengganu, hari ini. NSTP/Ghazali Kori
Berita Harian X