Jumaat, 18 Jun 2021 | 3:50pm

Program Musa'adah 3.0 bantu pelajar Palestin

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM451,402.91 diperuntukkan di bawah Program Musa'adah 3.0 bagi membantu golongan yang terjejas termasuk kelompok sasaran baharu iaitu rakyat Palestin yang berada di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata usaha membantu kebajikan rakyat Palestin ini turut memberi manfaat kepada pelajar Palestin yang sedang menyambung pengajian di universiti di negara ini.

Inisiatif ini katanya, dilakukan hasil kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Palestinian Progressive Association – Malaysia (PPAM).

"Seramai 135 pelajar Palestin yang sedang menyambung pengajian di 21 universiti di negara ini dikenal pasti menghadapi kesukaran untuk membiayai kos pengajian mereka.

"Justeru sejumlah RM451,402.91 diperuntukkan bagi tujuan membiayai kos pengajian pelajar Palestin ini dan bayaran akan disalurkan secara terus kepada pihak universiti," katanya dalam kenyataan di sini.

Terdahulu, Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kepada Pelajar Palestin di Malaysia dibuat secara maya dan dihadiri ketua jabatan dan agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri, Pengurusan PPAM dan juga pelajar Palestin di negara ini.

Zulkifli turut mengucapkan tahniah kepada semua agensi agama di bawah pentadbirannya yang sentiasa cakna terhadap kesusahan dialami pelbagai pihak akibat daripada pandemik dan memberi komitmen untuk terus membantu golongan terjejas.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat yang terus menyumbang ke Tabung Musa'adah COVID-19 JAKIM-YWM.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPAM, Mohammad Sbaih dalam ucapannya, merakamkan terima kasih kepada masyarakat di negara ini di atas keprihatinan terhadap rakyat Palestin.

"Sumbangan ini amat membantu dan memberi harapan baru kepada pelajar sepanjang pengajian mereka.

"Ucapan terima kasih turut dizahirkan kepada beberapa buah universiti yang berbesar hati memberi pengurangan atau diskaun terhadap baki yuran yang perlu dibayar oleh pelajar ini," katanya.

Sebelum ini, agensi agama di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berjaya mengumpulkan RM3.3 juta untuk disalurkan kepada keluarga rakyat Palestin di negara ini dan juga kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang menguruskan bantuan ke Palestin.

Masyarakat yang ingin menyumbang ke Tabung Musa'adah COVID-19 JAKIM-YWM boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB Islamic Bank Berhad atas nama Yayasan Waqaf Malaysia (86-0221818-6).

Berita Harian X