Khamis, 17 Jun 2021 | 10:08pm
Jahidah Nordin (kanan) sebelum kejadian dipukul suaminya, Rosmaini (kiri) sehingga koma. - Foto Ihsan Fazariah Nordin, PDRM
Jahidah Nordin (kanan) sebelum kejadian dipukul suaminya, Rosmaini (kiri) sehingga koma. - Foto Ihsan Fazariah Nordin, PDRM

Wanita koma didera kini dalam jagaan keluarga

SEREMBAN: Wanita hamil 12 minggu yang koma akibat dipukul suaminya, kini dijaga oleh adiknya yang berasal dari Bandar Sri Sendayan, dekat sini.

Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) memaklumkan, Jahidah Nordin, 43, kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban atas permintaan keluarga selain mendapat nasihat daripada pihak Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Adiknya, Fazariah Nordin, ketika ditemui tengah hari tadi memaklumkan Jahidah awalnya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA.

"Bagaimanapun, dia dipindahkan ke HTJ atas permintaan keluarga dan nasihat pihak HSA," kata MAINS dalam kenyataan di laman Facebook, hari ini.

Kenyataan itu menyebut, MAINS melalui Unit Khidmat Kesihatan menghulurkan bantuan wang tunai sebagai permulaan dan mengambil beberapa maklumat lain bagi bantuan seterusnya.

Pada 17 Mei lalu, Jahidah yang juga penjawat awam dan bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Johor, dikejarkan ke HSA selepas dipercayai dicederakan suaminya.

Mangsa cedera parah dan sebahagian tempurung kepalanya terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak.

Suami mangsa, Rosmaini Abd Raof, 38, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini, dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencederakan isteri ketiganya itu. – BERNAMA

Berita Harian X