Khamis, 17 Jun 2021 | 5:15pm
Elaun khas diperuntukkan kepada petugas barisan hadapan yang terbabit menguruskan wabak COVID-19 - NSTP/Ghazali Kori
Elaun khas diperuntukkan kepada petugas barisan hadapan yang terbabit menguruskan wabak COVID-19 - NSTP/Ghazali Kori

RM787.61 juta elaun khas barisan hadapan sudah dibayar

PUTRAJAYA: Sebanyak RM787.61 juta elaun khas barisan hadapan sudah disalurkan setakat 4 Jun lalu, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, jumlah itu adalah berdasarkan kira-kira 2.1 juta tuntutan yang terdiri daripada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terbabit secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan wabak COVID-19.

"Elaun khas ini juga dipanjangkan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, bomba, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota RELA yang terbabit secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-57, hari ini.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, tempoh permohonan rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dibuka mulai 15 sehingga 30 Jun 2021 bagi membantu mereka yang tidak lulus dalam permohonan sebelum ini.

Katanya, pemohon boleh mengemukakan rayuan berserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

"Seperti yang diumumkan dalam Program Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) pada 31 Mei lalu, kerajaan memperkenalkan BPR Tambahan bernilai RM2.1 bilion untuk membantu penerima BPR 2021 sedia ada.

"Pemohon yang lulus rayuan BPR turut layak menerima amaun BPR Tambahan berkenaan. Permohonan rayuan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi BPR LHDN di https://bpr.hasil.gov.my.

"Penghantaran borang rayuan BPR 2021 secara manual di cawangan/Pusat Khidmat Hasil (PKH)/Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDNM yang berhampiran secara janji temu sahaja," katanya.

Mengulas lanjut Tengku Zafrul berkata, setelah pangkalan data BPR dikemaskini, pembayaran rayuan BPR kepada pemohon yang lulus akan disalurkan pada bulan Ogos depan (BPR Tambahan) dan September 2021 (BPR Fasa 3).

"Pemohon rayuan BPR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang dimuat naik di portal rasmi BPR bagi mendapatkan maklumat lanjut.

"Kerajaan sentiasa peka dan membantu dalam menjamin kelangsungan hidup rakyat. Bagi 2021, RM4.6

bilion bantuan BPR sudah disalurkan kepada seramai 8.4 juta penerima B40 seluruh negara pada bulan Februari/Mac dan Mei 2021.

"Bayaran BPR Tambahan bernilai RM2.1 bilion akan disalurkan pada bulan Ogos dan bayaran Fasa 3 sebanyak RM2.4 bilion pula akan dibuat pada bulan September 2021," katanya.

Beliau berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan bantuan ialah RM9.1 bilion.

"Kerajaan kekal komited untuk memastikan bantuan yang diperuntukkan ini sampai kepada mereka yang disasarkan bagi menjamin kesejahteraan rakyat terutamanya mereka yang amat terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada kali ini," katanya.

Berita Harian X