Rabu, 16 Jun 2021 | 1:32pm
 Tumpahan minyak di Sungai Semenyih yang dikesan kelmarin berpunca daripada kilang sawit mentah di Semenyih. - Foto ihsan FB Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Tumpahan minyak di Sungai Semenyih yang dikesan kelmarin berpunca daripada kilang sawit mentah di Semenyih. - Foto ihsan FB Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man

JAS arah pemilik kilang sawit ambil langkah segera

PUTRAJAYA: Pemilik kilang sawit mentah di Semenyih yang terbabit dengan tumpahan minyak di Sungai Semenyih diarah memasang 'activated carbon' di setiap longkang bagi mengelak minyak terus mengalir ke longkang awam.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Ibrahim, berkata siasatan mendapati masih terdapat kesan minyak mentah di sekitar tangki simpanan dan sepanjang dinding longkang dalam premis.

"Semalam, berlaku tumpahan minyak di Sungai Semenyih yang berpunca daripada kilang minyak kelapa sawit mentah.

"Susulan kejadian itu, Jabatan Alam Sekitar terus melakukan pemeriksaan susulan ke atas kilang minyak sawit mentah untuk memastikan tindakan pembersihan telah diambil," katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS ) bertindak pantas menghalang tumpahan minyak dari sebuah kilang minyak sawit mentah seterusnya berjaya mengelakkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 7 malam itu dikatakan disebabkan terdapat permasalahan teknikal pada sistem tangki simpanan kilang yang beroperasi di Semenyih itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian dilaporkan, berkata siasatan dijalankan LUAS mendapati terdapat tompokan minyak yang dikesan pada kawasan aliran longkang keluar premis berkenaan.

Berikutan itu, kod kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air Negeri Selangor diaktifkan bagi mengelakkan LRA Sungai Semenyih, yang terletak 15.9 kilometer dari lokasi kejadian, daripada dihenti tugas.

Berita Harian X