ALOR SETAR: Kerja menanam padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) seluas 100,685 hektar sudah menghampiri 94 peratus siap dengan 332,010 beg benih padi sah (BPS) sudah diagih kepada pesawah.
Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman, berkata kerja penanaman padi berjalan dengan lancar, walaupun ketika sekatan pergerakan penuh kerana aktiviti itu diklasifikasi sebagai perkhidmatan perlu bagi menjamin rantaian makanan negara.
"Sehingga kelmarin, pihak MADA telah mengeluarkan sebanyak 8,476 surat kebenaran menjalankan aktiviti rantaian pengeluaran makanan kepada peladang, pembekal perkhidmatan dan usahawan menerusi27 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA.
"Sebanyak 332,010 beg BPS juga telah dipasarkan melalui PPK MADA kepada peladang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Ahmad Tarmizi berkata, pihaknya juga meminta pesawah mengoptimumkan pengunaan air hujan untuk aktiviti penanaman dengan bekalan sokongan pengairan akan disalurkan empangan sekiranya perlu.
"Sehingga semalam, takungan air di Empangan Pedu berada pada paras 88.31 peratus,Empangan Muda pada paras 81.92 peratus dan Empangan Ahning pada paras 89.11 peratus. Jumlah takungan air tiga empangan ini secara keseluruhannya berada pada paras selesa.
"Dijangkakan aktiviti penuaian bagi musim 1/2021 akan bermula pada penghujung Julai dan dijangka selesai pada Oktober depan," katanya.
Beliau turut menasihatkan agar peladang MADA sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan COVID-19.
Selain itu, katanya peladang juga disaran membuat pendaftaran untuk mendapatkan suntikan vaksin dan menghadiri janji temu vaksin.