Isnin, 14 Jun 2021 | 11:54pm
Peguam, Vicknaraj Thanarajah membuat laporan polis terhadap Dr Mahathir berhubung cadangan penubuhan MAGERAN. - Foto NSTP/ Aziah Azmee
Peguam, Vicknaraj Thanarajah membuat laporan polis terhadap Dr Mahathir berhubung cadangan penubuhan MAGERAN. - Foto NSTP/ Aziah Azmee

MAGERAN: Peguam buat laporan polis terhadap Dr Mahathir

SUBANG JAYA: Satu laporan polis dibuat terhadap Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung cadangan penubuhan sebuah badan seperti Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) sewaktu Darurat berkuat kuasa kerana ia dilihat menjejaskan proses demokrasi berparlimen.

Peguam, Vicknaraj Thanarajah, berkata beliau percaya cadangan Dr Mahathir itu bertentangan dengan undang-undang khususnya Seksyen 124 (B) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 130 (A) berkenaan aktiviti dan cubaan menjejaskan demokrasi berparlimen.

Sifat cadangan Dr Mahathir juga bertindih apabila beliau menggunakan terma MAGERAN yang sebenarnya tidak relevan apabila Kabinet telah dibentuk manakala Parlimen berjalan walaupun ia kini diprorog (digantung).

"Cadangan Ahli Parlimen Langkawi dilihat menafikan peranan Parlimen dalam masyarakat demokratik selain bertentangan dengan sumpahnya sebagai Ahli Dewan Rakyat.

"Sebagai rakyat biasa yang tidak berminat untuk bermain politik, saya mendapati ahli politik pada masa ini telah menggunakan demokrasi untuk 'membunuh' demokrasi," katanya kepada BH selepas memberi keterangan selama dua jam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, hari ini.

Beliau sebelum itu membuat laporan di Balai Polis Bandar Sunway.

Seksyen 124 (B) menyentuh mengenai aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun manakala Seksyen 130 (A) menjelaskan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen bermaksud aktiviti yang dilakukan oleh individu atau sekumpulan individu untuk menggulingkan atau melemahkan demokrasi berparlimen melalui keganasan atau cara tidak berpelembagaan.

Mengulas lanjut, Vicknaraj, berkata dalam cadangan itu, Dr Mahathir menyatakan keperluan MAGERAN untuk beroperasi hingga 2023 yang memberi petunjuk ia boleh berfungsi di luar atau di dalam keadaan darurat selain turut menawarkan dirinya sebagai ketua.

Sedangkan katanya, kerajaan telah mempunyai Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang merupakan legasi kepada MAGERAN 1969 yang kini diletakkan di bawah Pejabat Perdana Menteri.

Jawatakuasa Khas Bebas Darurat 2021 juga telah ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 untuk menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengenai pandemik dan darurat.

"MKN dan jawatankuasa bebas khas ini mempunyai ruang untuk melantik pakar swasta. Selain itu mereka juga mempunyai akses kepada kepakaran penjawat awam yang tidak kurang pengalaman dan kemampuannya," katanya.

Vicknaraj berkata, proklamasi darurat juga hanya berkuat kuasa hingga Ogos ini dan kerajaan sedang berusaha sebaik mungkin untuk melaksanakan pelbagai polisi bagi memastikan imuniti kelompok dapat dicapai hujung tahun ini.

"Tujuan darurat adalah menangani pandemik COVID-19 dan kerajaan amat jelas mengenainya. Ia bukan bertujuan merampas kuasa Parlimen, merampas demokrasi atau menafikan doktrin kerajaan yang bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu beliau menjelaskan, laporan polis itu juga dibuat dengan kesedaran bahawa negara kini sedang berperang menentang musuh yang tidak dapat dilihat iaitu virus COVID-19.

"Kita mesti menghormati kebijaksanaan Seri Paduka serta mengiktiraf usaha kerajaan memerangi pandemik. Apa-apa cubaan untuk mengalihkan sumber dan perhatian terhadap musuh utama kita sekarang iaitu COVID-19 adalah penderhakaan terhadap kepentingan negara," katanya.

Berita Harian X