Ahad, 13 Jun 2021 | 9:10pm

Kakitangan gudang cetus Kluster Eioz Selatan

KOTA KINABALU: Seorang kakitangan gudang yang dijangkiti COVID-19 telah mencetuskan Kluster Eioz Selatan sehingga menyebabkan jangkitan merebak ke tiga daerah di Sabah.

Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kluster tempat kerja yang menular di Kota Kinabalu, Tuaran dan Penampang itu membabitkan seorang kakitangan sebuah syarikat di KKIP Selatan.

"Kebanyakan kes positif terdiri daripada pekerja dari tiga daerah itu malah telah merebak kepada generasi kedua iaitu ahli keluarga kepada kakitangan di gudang terbabit.

"Kes indeks adalah pekerja am lelaki yang berusia 23 tahun, tinggal di Taman Sri Rugading Tuaran disahkan positif COVID-19 pada 3 Jun setelah mengalami gejala sejak 31 Mei di Hospital Tuaran.

"Susulan kes itu, saringan kontak rapat terhadap 40 rakan sekerja dan ahli keluarga mengesan sembilan lagi kes positif, menjadikan jumlah kumulatif 10 kes merangkumi tujuh kes di Kota Kinabalu, dua kes di Tuaran dan satu di Penampang.

"Sementara itu, 12 kontak didapati negatif manakala empat sampel masih menunggu keputusan," katanya dalam kenyataan.

Selain Kluster Eioz Selatan, Sabah turut mencatatkan dua lagi kluster iaitu Kluster Kampung Kebayau Kota Belud yang membabitkan aktiviti majlis pengebumian dan Kluster Jalan Agaseh Lahad Datu yang membabitkan tempat kerja.

Bagi Kluster Jalan Agaseh, penularan jangkitan yang membabitkan sebuah syarikat kejuruteraan elektrik itu mencatat tiga kes baharu, menjadikan jumlah kumulatif kes positif, 15 kes.

"Kes indeks adalah warganegara wanita berusia 64 tahun yang dikesan positif COVID-19 pada 9 Jun hasil saringan bergejala di Klinik Kesihatan Lahad Datu. Hasil pengesanan secara aktif, 51 kontak rapat telah disaring dan mengesan 14 lagi kes disahkan positif, manakala 36 kontak pula didapati negatif saringan pertama," katanya.

Berita Harian X