Ahad, 13 Jun 2021 | 7:24pm
 Ahmad Amzad (kiri) meninjau proses pemberian vaksin COVID-19 di PPV UniSZA, hari ini. - Foto BERNAMA
Ahmad Amzad (kiri) meninjau proses pemberian vaksin COVID-19 di PPV UniSZA, hari ini. - Foto BERNAMA

Sasaran 200,000 vaksinasi sehari pada Julai

KUALA NERUS: Kerajaan akan memastikan sasaran 200,000 suntikan vaksin COVID-19 sehari dapat dicapai pada akhir bulan depan, sekali gus memendekkan tempoh menunggu dalam kalangan pemohon yang lama berdaftar melalui aplikasi MySejahtera.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata fokus kerajaan ketika ini bagi meningkatkan jumlah kuantiti suntikan harian melalui pelbagai strategi termasuk mewujudkan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan menambah tenaga kerja terutama vaksinator.

"Sasaran bulan ini dapat dicapai iaitu 150,000 suntikan sehari dan fokus seterusnya ialah 200,000 suntikan sehari pada Julai.

"Ada cadangan untuk PPV beroperasi 24 jam sehari, namun ini perlu diperhalusi kerana petugas juga perlu berehat.

"Sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dimulakan pada Februari lalu, seramai 4.3 juta penduduk divaksin dan jumlah itu masih jauh daripada sasaran 80 peratus imuniti kelompok (26.5 juta penduduk) di Malaysia dan pelbagai usaha sedang dijalankan untuk meningkatkan jumlah suntikan harian seperti disasarkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau proses pemberian vaksin di PPV Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus dan Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan.

UniSZA adalah universiti awam (UA) pertama di Terengganu dijadikan PPV melalui kerjasama Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, langkah menjadikan 19 UA di seluruh negara sebagai PPV dengan sasaran 430,000 suntikan sebulan juga akan membantu kerajaan memendekkan tempoh menunggu pemohon sedia ada, sekali gus mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok pada akhir tahun ini.

Beliau turut memuji kecekapan anggota kesihatan di Terengganu yang berjaya menjalankan 92.8 peratus kadar penggunaan vaksin dibekalkan.

"Kadar penggunaan vaksin ini tertinggi dalam negara iaitu daripada jumlah keseluruhan 183,700 dos dibekalkan kepada Terengganu, sebanyak 92.8 peratus digunakan dan ia berbaki 13,239 dos saja," katanya.

Sementara itu, Hassan Basri berkata, seramai 39,000 penduduk sekitar Kuala Nerus akan menerima vaksin dalam tempoh sebulan melalui PPV universiti itu dengan sasaran minimum 1,000 suntikan sehari.

"Pemberian vaksin kepada orang ramai secara pandu lalu turut dirancang bagi kes tertentu seperti orang kurang upaya (OKU) dengan sasaran 300 orang setiap sesi.

"Bagi menyokong usaha ini, seramai 350 kakitangan dan pelajar serta alumni UniSZA digerakkan sebagai petugas barisan hadapan dan sukarelawan berdaftar," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X