Ahad, 13 Jun 2021 | 5:50pm

Rayuan BPR dibuka hingga 30 Jun

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan membuka rayuan bagi permohonan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) bermula Selasa hingga 30 Jun ini bagi membantu rakyat yang tidak lulus dalam permohonan sebelum ini.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pemohon boleh mengemukakan rayuan serta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memastikan bantuan dapat disampaikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

"Kerajaan sedar mungkin masih ada rakyat yang layak menerima BPR tetapi masih belum didaftarkan dalam pangkalan data kerajaan.

"Permohonan rayuan boleh dibuat melalui dua kaedah iaitu secara dalam talian melalui portal rasmi BPR LHDNM dan penghantaran borang rayuan secara manual di cawangan, Pusat Khidmat Hasil (PKH) atau Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDNM secara janji temu sahaja.

"Setelah pangkalan data BPR dikemaskini, pembayaran rayuan BPR kepada pemohon yang lulus akan disalurkan pada Ogos iaitu BPR tambahan dan Semptember ini bagi BPR fasa tiga," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Pada masa sama, Tengku Zafrul berkata, sepanjang tahun ini kerajaan memperuntukkan hampir RM9.1 bilion untuk BPR secara keseluruhannya.

Ia termasuklah peruntukan BPR tambahan sebanyak RM2.1 bilion untuk membantu penerima BPR 2021 sedia ada melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+).

"Bagi tahun ini, kerajaan mengemaskini data golongan B40 yang layak menerima BPR dan hingga kini RM4.6 bilion bantuan BPR sudah disalurkan kepada seramai 8.4 juta penerima di seluruh negara pada Februari atau Mac dan Mei lalu.

"Bayaran fasa tiga sebanyak RM2.4 bilion pula akan dibuat pada September ini," katanya.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa peka dalam membantu bagi menjamin kelangsungan hidup rakyat malah akan kekal komited untuk memastikan bantuan yang diperuntukkan ini sampai kepada mereka yang disasarkan.

Katanya, ia adalah bagi menjamin kesejahteraan rakyat terutamanya mereka yang amat terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.

Berita Harian X