Ahad, 13 Jun 2021 | 2:59pm
UPKK bagi mata pelajaran al-Quran yang merangkumi Ujian Lisan Tadarus dan Tilawah Al-Quran, Hafazan dan Tafsir Al-Quran, ia dinilai oleh guru KAFA sekolah masing-masing yang dijadualkan bermula pada 1 hingga 30 September ini. - Foto hiasan NSTP
UPKK bagi mata pelajaran al-Quran yang merangkumi Ujian Lisan Tadarus dan Tilawah Al-Quran, Hafazan dan Tafsir Al-Quran, ia dinilai oleh guru KAFA sekolah masing-masing yang dijadualkan bermula pada 1 hingga 30 September ini. - Foto hiasan NSTP

UPKK 2021 dilaksana ikut jadual

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi 2021 masih mengikut jadual yang ditetapkan, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abdul Aziz Jusoh.

UPKK katanya, akan dilaksanakan dengan mematuhi Garis Panduan Pengoperasian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain dan Sekolah Agama Dalam Norma Baharu yang mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 9 Jun lalu, berdasarkan ulasan dan pandangan dikemukakan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

JAKIM katanya, sentiasa memberi perhatian serius terhadap situasi semasa penularan COVID-19 khususnya aspek keselamatan murid dan semua petugas peperiksaan.

"JAKIM dengan kerjasama semua agensi terbabit sudah menyediakan pelan tindakan yang sewajarnya bagi memastikan pelaksanaan UPKK tahun ini berjalan lancar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pelaksanaan UPKK bagi calon tahun 2020 dan 2021 akan dilaksanakan secara serentak tahun ini membabitkan lapan subjek terdiri daripada dua subjek amali, satu subjek ujian lisan dan lima subjek bertulis.

Dua subjek penilaian amali iaitu mata pelajaran amali solat dan penghayatan cara hidup Islam sudah bermula dari awal takwim persekolahan 2021.

Abdul Aziz berkata, JAKIM turut melaksanakan kaedah penilaian sepanjang sesi persekolahan termasuk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan mengambil kira ujian bulanan dan aktiviti dalam dan luar bilik darjah.

Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) turut diambil kira sebagai antara komponen penilaian UPKK yang dinilai oleh guru KAFA sekolah masing-masing.

Bagi mata pelajaran al-Quran yang merangkumi Ujian Lisan Tadarus dan Tilawah Al-Quran, Hafazan dan Tafsir Al-Quran, ia dinilai oleh guru KAFA sekolah masing-masing yang dijadualkan bermula pada 1 hingga 30 September ini.

Katanya, hingga kini, UPKK masih kekal relevan dan ia terbukti dengan pertambahan jumlah calon yang menduduki ujian itu.

"Perkara ini sekali gus menunjukkan bahawa kesedaran masyarakat untuk menjadikan pendidikan KAFA sebagai pengukuhan kepada pendidikan Islam arus perdana semakin meningkat dan sebagai persediaan dari aspek rohani sebelum murid melangkah ke peringkat pendidikan menengah," katanya.

Berita Harian X