Ahad, 13 Jun 2021 | 12:28pm
Tan Sri Noh Omar
Tan Sri Noh Omar

'Apa peranan kami sebagai Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat'

TANJONG KARANG: Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021, Tan Sri Noh Omar menyelar kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai peranan mereka dalam tempoh darurat.

Noh mendakwa kenyataan Takiyuddin dianggap sebagai satu penghinaan kepada Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang pelantikan mereka diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Kalau baginda bertindak untuk sambung atau tamatkan darurat atas nasihat Kabinet... soalan saya kepada menteri, kenapa melantik kami dan sekarang menafikan peranan kami semua?

"Adakah menteri merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri mengenai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021? Saya minta Menteri jelaskan apa sebenarnya peranan kami," katanya menerusi status dimuat naik di akaun Facebook miliknya, hari ini.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, kenyataan bercanggah oleh beberapa menteri juga dilihat dalam isu membabitkan sidang Parlimen.

"Saya fikir mungkin kerana Parlimen tidak dibenarkan bersidang, maka tidak ada semak dan imbang serta menteri boleh membuat keputusan sesuka hati sahaja.

"Sebelum ini, seorang menteri dah tutup pintu depan, tapi ada pula Menteri lain yang buka pintu belakang.

"Akibatnya, jumlah mangsa COVID-19 semakin bertambah dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 terpaksa disambung lagi dua minggu," katanya.

Semalam, Takiyuddin memaklumkan, menjadi tanggungjawab Jemaah Menteri untuk terus menasihati Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat.

Katanya, persoalan mengenai sama ada darurat yang akan tamat 1 Ogos depan akan diteruskan atau tidak atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong, yang tidak seharusnya timbul.

Berita Harian X