Ahad, 13 Jun 2021 | 11:27am
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (kanan) dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto NSTP
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (kanan) dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto NSTP

'Jelaskan fungsi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat'

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan diminta memberi penjelasan berhubung kedudukan dan fungsi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai darurat.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata penjelasan itu perlu kerana Takiyuddin sebelum ini menyatakan Jemaah Menteri yang akan menasihati Yang di-Pertuan Agong sama ada darurat perlu dilanjutkan atau sebaliknya.

Sebagai seorang ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang dilantik Yang di-Pertuan Agong, beliau yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu memohon Takiyuddin segera tampil memberikan penjelasan.

"Hal ini akan membantu saya untuk membuat keputusan bersabit kedudukan dan peranan saya dalam jawatankuasa ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Takiyuddin dalam satu kenyataan dilaporkan berkata persoalan mengenai sama ada darurat yang akan tamat 1 Ogos depan akan diteruskan atau tidak atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong tidak seharusnya timbul.

Beliau dilaporkan berkata menjadi tanggungjawab Jemaah Menteri untuk terus menasihati Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Utama Negara dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh darurat.

"Ia selepas mengambil kira semua keadaan semasa serta faktor-faktor berkaitan termasuk keselamatan orang ramai, aspek sosial dan ekonomi negara," kata Ahli Parlimen Kota Bharu dari PAS itu.

Saifuddin berkata, beliau sedia maklum bahawa di bawah Perlembagaan Persekutuan peranan atau tugas menasihati Yang di-Pertuan Agong diperuntukkan kepada Jemaah Menteri sesuai Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan yakni Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat.

Namun, katanya pada 12 Januari lalu, Perdana Menteri mengumumkan darurat berkuat kuasa di negara kita.

"Hal ini setelah Yang di-Pertuan Agong bersetuju dengan nasihat Jemaah Menteri yang disampaikan oleh Perdana Menteri dan sesuai Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan telah diisytiharkan Proklamasi Darurat.

"Seterusnya pada 14 Januari Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 dibuat dan berkuat kuasa," katanya.

Berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 diperuntukkan penubuhan jawatankuasa Khas Bebas Darurat.

"Dengan penubuhan ini kerajaan telah membuat pengecualian untuk jawatankuasa ini menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai darurat berbanding dalam keadaan biasa peranan menasihati ini adalah peranan Jemaah Menteri.

"Jawatankuasa ini memikul tanggungjawab yang sangat jelas dan spesifik iaitu 'menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat atau penamatannya'.

"Sehingga sekarang Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ini masih wujud dan berfungsi menjalankan tugas dengan matlamat akhirnya mempersembahkan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Justeru, katanya sudah tentulah kenyataan Takiyuddin ini amat mengelirukan sekali gus menimbulkan beberapa persoalan.

Katanya, antara persoalan adalah mengenai fungsi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai tarikh darurat ditamatkan atau disambung kini diambil alih oleh Jemaah Menteri

"Apakah ini bermaksud ketika darurat berjalan di bawah kuasa Ordinan Darurat 2021 sekalipun, kuasa Jemaah Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan dianggap terpakai termasuk dalam perkara menamatkan atau melanjutkan tempoh darurat?

"Jika itu benar, apa keperluan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ini diwujudkan?" soalnya.

Berita Harian X