Jumaat, 11 Jun 2021 | 9:19pm

Hadir pengebumian jadi punca Kluster Kopi Blues

KOTA KINABALU: Sabah hari ini telah mencatatkan satu lagi kluster baharu yang berpunca dari aktiviti menghadiri majlis pengebumian dan tahlil.

Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata Kluster Kopi Blues membabitkan jangkitan dalam komuniti di Mukim Sri Tanjung, dalam daerah Tawau.

"Kes indeks adalah seorang suri rumah berusia 46 tahun yang berasal dari Kampung Lorong Saddani, Batu 2 yang disahkan positif melalui saringan bergejala pada 9 Jun lepas bersama anaknya. Daripada 20 sampel diambil menerusi saringan kontak rapat dan kontak sosial, 10 dikesan positif COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 12 kes.

"Siasatan awal mendapati semua kontak telah menghadiri perjumpaan di Kampung Kopi Blues Batu 2, iaitu rumah keluarga mereka sempena majlis pengebumian dan tahlil pada 29 Mei lalu," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau turut berkata aktiviti pengesanan kontak rapat dan mengenal pasti punca jangkitan sedang giat dijalankan.

Dalam pada itu, Masidi yang juga merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata kes jangkitan hari ini adalah sebanyak 309 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 65,330 kes.

"Enam kematian direkodkan hari ini iaitu dua kes di daerah Tawau serta satu kes masing-masing membabitkan daerah Semporna, Sandakan, Kuala Penyu dan Beaufort," katanya.

Sementara itu, katanya, seramai 606,007 individu di Sabah sudah mendaftar sebagai penerima vaksin setakat hari ini. Jumlah itu mewakili 20.7 peratus daripada populasi negeri ini.

Pendaftaran sebagai penerima vaksin paling banyak dilakukan menerusi aplikasi MySejahtera, berbanding menerusi laman sesawang dan talian vaksinasi.

Berita Harian X