Ahad, 6 Jun 2021 | 10:49am

12,887 unit peranti pintar sudah diagih

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan menjelaskan sebanyak 12,887 daripada 150,000 unit komputer riba dilengkapi akses internet selama setahun sudah diagihkan kepada murid daripada keluarga B40, setakat semalam.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata kumpulan penerima pertama menerusi projek perintis pembelajaran digital CERDIK itu membabitkan murid di 95 sekolah daripada 51 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh negara.

"Pengagihan 40,290 unit lagi peranti sedang berlangsung dan ia dijangka selesai selewat-lewatnya 12 Jun ini.

"Baki 96,823 unit peranti pula Insya-Allah dijangka selesai pada akhir September 2021," katanya pada sidang akhbar khas secara maya hari ini.

Pemberian 150,000 komputer riba untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) murid daripada keluarga B40 oleh syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) itu diumumkan dalam Belanjawan 2021.

Mengulas lanjut Radzi berkata, bagi keperluan murid yang tidak mempunyai akses internet, pihaknya meneruskan Didik TV yang bersiaran 15 jam sehari.

Katanya, kandungan saluran khusus TV Pendidikan itu akan mengikut silibus mata pelajaran.

"Selain itu, kita ada slot TV Pendididkan di TV Okey RTM yang bersiaran dua jam sehari dan Astro Tutor TV yang bersiaran empat jam sehari.

"Kementerian mendapati sokongan terhadap PdPR semakin hari bertambah baik," katanya.

Beliau berkata, pihak kementerian menyedari kritikan masyarakat apabila melancarkan Didik TV pada 17 Februari lalu kerana tidak lama selepas itu sekolah dibuka semula.

Katanya, pada masa itu kementerian telah menilai keadaan semasa dan pihaknya perlu bersedia menghadapi apa juga kemungkinan mengenai pandemik COVID-19 yang boleh meningkat pada bila-bila masa.

"Sebab itu kita komited untuk laksanakan Didik TV secepat mungkin dan diletakkan dalam platform yang baik.

"Sekiranya berlaku balik PdPR, kita dapat gunakan sepenuhnya Didik TV ini khususnya kepada yang tiada akses internet. Sekurang-kuranya ada kaedah yang lebih dekat dengan mereka untuk mengikuti pengajaran guru berpengalaman," jelasnya.

Sementara itu, Radzi berkata, semakan rayuan ke sekolah khusus seperti Sekolah Berasarama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Kolej Vokasional (KV), Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) boleh diketahui pada Selasa ini.

Katanya, bagi yang berjaya mereka boleh mendaftar secara dalam talian pada 13 Jun ini untuk sekolah Kumpulan A manakala sekolah Kumpulan B pada 14 Jun.

Foto hiasan
Foto hiasan
Berita Harian X