Sabtu, 5 Jun 2021 | 2:30pm
-Foto hiasan
-Foto hiasan

Vaksin COVID-19: Kerajaan diminta pertimbangkan penunggang p-hailing

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mempertimbangkan supaya penunggang p-hailing di negara ini turut diberi keutamaan pemberian vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) disebabkan risiko tinggi dihadapi mereka dalam menjalankan tugas setiap hari.

Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR) Zulhelmi Mansor, berkata tugasan seharian dilaksanakan memerlukan penghantar p-hailing berjumpa pelanggan dan berada di lokasi Zon Merah sekali gus menjadikan golongan ini berisiko tinggi terhadap jangkitan COVID-19.

Beliau berkata, meskipun penunggang p-hailing diiktiraf sebahagian daripada petugas barisan hadapan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ia masih tidak memberi kesan dalam isu pemberian vaksin COVID-19 kepada golongan ini.

"Pengiktirafan sebagai petugas barisan hadapan memberi semangat kepada penunggang p-hailing untuk terus memberi khidmat terbaik kepada masyarakat.

"Bagaimanapun, ketika gelombang ketiga COVID-19 melanda negara, pengiktirafan Perdana Menteri ini seakan-akan tidak memberi impak dan ini dibuktikan apabila penunggang p-hailing tidak disenaraikan sebagai penerima vaksin kepada petugas barisan hadapan.

"Dalam sehari, purata 20 pesanan perlu mereka sampaikan justeru kami memohon Kementerian Kesihatan (KKM) mempertimbangkan penunggang p-hailing turut diberi keutamaan menerima suntikan vaksin demi keselamatan mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan lain, PENGHANTAR turut melahirkan kekecewaan apabila penunggang p-hailing tidak tersenarai menerima bantuan melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus) yang diumumkan 31 Mei lalu.

"Ini adalah kali ketiga penunggang p-hailing diketepikan daripada senarai penerima. Meskipun meneruskan tugasan seperti biasa tetapi mereka juga terkesan dengan ujian serta musibah ini," katanya.

Zulhelmi berkata, golongan ini perlu turut diberi perhatian memandangkan kini terdapat lambakan penghantar p-hailing selepas mereka yang terbabit dengan sektor ditutup dan tidak beroperasi susulan sekatan penuh pergerakan, beralih kepada bidang pekerjaan ini.

Selain daripada itu katanya prosedur operasi standard (SOP) yang mengehadkan operasi sesetengah sektor ekonomi hanya dari jam 8 pagi sehingga 8 malam menyebabkan pendapatan penghantar p-hailing terjejas.

"Kini sektor e-hailing turut membenarkan pemandu e-hailing mengambil pesanan makanan dan barangan dan ini turut menjejaskan pendapatan penunggang p-hailing.

"PENGHANTAR memohon sekali lagi supaya Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan KKM mengkaji semula dua isu ini demi keselamatan dan kebajikan penunggang p-hailing di negara ini," katanya.

Berita Harian X