Jumaat, 4 Jun 2021 | 6:17pm
Foto hiasan BERNAMA
Foto hiasan BERNAMA

PKPD beberapa lokaliti di Perak, Pahang, Sabah mulai Isnin

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di beberapa kawasan di Perak, Pahang dan Sabah bermula 6 hingga 19 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD di Perak membabitkan Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan di Mukim Ulu Kinta; Taman Kerian Tambahan di Parit Buntar; tiga perkampungan di Batu 9 Lekir dekat Manjung; Taman Berkat di Mukim Matang dan masing-maisng dua perkampungan di Mukim Pengkalan Hulu serta Mukim Kerunai di Hulu Perak.

"PKPD di Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan dibuat selepas sebanyak 24 kes positif direkodkan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan 243 saringan ke atas penduduk dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti berkenaan.

"PKPD Taman Kerian Tambahan pula dilaksanakan selepas sebanyak 64 kes direkodkan hasil daripada keseluruhan 408 saringan dilakukan KKM dengan kada positif sebanyak 15.4 peratus," katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPD hari ini.

Ismail Sabri berkata, PKPD di Mukim Lekir membabitkan Kampung Tanjung Kepah, Kampung Batu 9 dan Kampung Sungai Lombong selepas berlaku peningkatan ketara kes di kawasan berkenaan dengan 57 kes positif direkodkan.

Katanya, KKM turut mengesahkan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti berkenaan.

PKPD di Pahang membabitkan bandar Bentong merangkumi Kampung Chamang Lama dan Baru, Taman Bukit Chamang, Kawasan Perindustrian Bentong, Kampung Baru, Taman Saga, Taman Bukit Indah, Kampung Sungai Marong dan Taman Bukit Bentong.

PKPD bandar Bentong juga membabitkan Taman Hussin, Taman Syahbandar, Kampung Perting, Kemansur, Kuala Repas, Bentong Heights, Rumah Murah Batu 1 dan PPRT Batu 1, Taman Bentong Makmur, Taman Harmoni, Taman Kolej dan Taman Desa Damai.

"Sejak 17 hingga 31 Mei lalu, sebanyak 209 kes positif COVID-19 dilaporkan sekitar bandar Bentong selepas ujian saringan dijalankan ke atas 914 orang penduduk di situ," katanya.

Bagi Sabah pula, PKPD dilaksanakan di Taman Wangsa, Jalan Telipok, Kota Kinabalu dan Kampung Perpaduan, Pulau Banggi dekat Kudat.

"Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk memudahkan KKM menjalankan pengesanan awal kes COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin," katanya.

Ismail Sabri turut mengumumkan PKPD di beberapa lokaliti di Sarawak, Johor, Sabah, Melaka, Kelantan dan di ibu negara ditamatkan mulai esok.

PKPD yang ditamatkan itu adalah Rumah Panjang Nyalu anak Francis dan Rumah Panjang Nyalu, Jalan Mukah-Selangau dekat Mukah (Sarawak); FELDA Kahang Timur, Asrama Pekerja Kilang Oceanic Fabrric Mill dan Asrama Pekerja Kilang Purnabina, Kluang (Johor).

Selain itu, Kampung Lubok Redan (Melaka); Kampung Batu Muda Tambahan dan PPR Kampung Limau (Kuala Lumpur); tiga perkampungan di Mukim Benut Susu (Kelantan) serta Kampung Pagar Sungai Imam, Tawau (Sabah).

Ismail Sabri berkata, penamatan PKPD itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal.

"Penamatan ini dibuat hasil penilaian risiko pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM.

"Seperti PKPD Rumah Panjang Nyalu anak Francis, sehingga kini sebanyak 150 ujian saringan dilakukan, 91 daripadanya disahkan positif. KKM juga mengesahkan berlaku penurunan kes," katanya.

Berita Harian X