Khamis, 3 Jun 2021 | 4:07pm

Rancang 600 PPV menjelang akhir tahun

KUALA TERENGGANU: Kerajaan meletak sasaran membuka sekurang-kurangnya 600 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata ketika ini, ada sebanyak 357 PPV di seluruh negara termasuk tiga PPV berskala mega iaitu Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur serta Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC) di Shah Alam.

Katanya, penambahan PPV akan dilaksanakan secara berperingkat supaya lebih ramai orang dapat diberikan vaksin demi mencapai sasaran 80 peratus penduduk mendapat suntikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menjelang hujung tahun ini.

"Lima PPV berskala mega akan mula beroperasi di sekitar Lembah Klang bermula 7 Jun ini iaitu tiga di Selangor manakala dua lagi di Kuala Lumpur yang mampu memberi antara 2,000 hingga ke 8,000 suntikan setiap hari.

"Kita juga memikirkan kaedah lain untuk melaksanakan vaksinasi termasuk PPV sementara memandangkan kita akan menerima lebih banyak bekalan vaksin bermula bulan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan Lawatan ke PPV di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) Kampung Laut di sini, hari ini.

Mengenai pertambahan PPV di seluruh negara, Ahmad Amzad berkata, ada beberapa isu perlu diperhalusi seperti petugas kesihatan yang melakukan suntikan dan kakitangan bertugas.

"Kita kena pastikan mereka mendapat rehat mencukupi, justeru kita melihat alternatif daripada Pengamal Perubatan Am (GP) swasta dan sebagainya untuk turut bertugas di PPV.

"Ada kira-kira 2,500 GP swasta berdaftar untuk melaksanakan PICK dengan 1,800 daripadanya sudah diluluskan.

"Apabila bekalan vaksin mencukupi, mereka akan menerima vaksin supaya dapat bertugas memberi suntikan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan masih menunggu kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) terhadap dua lagi iaitu vaksin Sputnik V-Gamaleya keluaran Russia dan CanSino dari China untuk dibawa masuk ke Malaysia.

Ahmad Amzad (kiri) menemui warga emas yang menunggu giliran menerima suntikan vaksin ketika melawat PPV Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, Kampung Laut. - NSTP/GHAZALI KORI

Ahmad Amzad (kiri) menemui warga emas yang menunggu giliran menerima suntikan vaksin ketika melawat PPV Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, Kampung Laut. - NSTP/GHAZALI KORI

Berita Harian X