Selasa, 1 Jun 2021 | 11:13pm
Anggota polis dan ATM memeriksa kenderaan dalam SJR berhampiran Plaza Tol Sungai Besi. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Anggota polis dan ATM memeriksa kenderaan dalam SJR berhampiran Plaza Tol Sungai Besi. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

OP Penawar: 3,300 anggota ATM bantu PDRM

KUALA LUMPUR: Seramai 3,300 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah diatur gerak bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam penugasan sekatan jalan raya (SJR), pos statik dan rondaan kereta peronda polis (MPV) di seluruh negara.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata tindakan melalui pelaksanaan Op Penawar itu membabitkan ketiga-tiga perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

"Atur gerak dan kesiapsiagaan ini turut meliputi aspek kawalan dan rondaan keselamatan di kawasan berisiko tinggi yang diisytiharkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), lokasi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan pelaksanaan Task Force Operasi Pematuhan bagi memantau serta menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, menerusi Op Benteng pula dengan kerjasama semua agensi keselamatan, Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) berjaya memperketatkan kawalan sempadan darat, laut dan udara di samping memudahkan proses kerja setiap agensi dalam mencapai misi operasi berikutan kegiatan pencerobohan adalah saling berkait dengan jenayah rentas sempadan yang lain.

"Secara keseluruhannya, melalui Op Benteng di seluruh negara, seramai 12,285 anggota diatur gerak bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin daripada membolosi sempadan negara terutama melalui lorong-lorong tikus," katanya.

Beliau juga berkata, seramai 15,759 individu ditahan terdiri daripada pendatang tanpa izin, tekong dan penyeludup sejak 6 Mei hingga semalam.

Katanya, terdapat sejumlah 8,617 pelaporan membabitkan 5,221 kes tangkapan, 1,593 kes rampasan, 379 pengusiran dan 1,421 kes penglihatan membabitkan nilai rampasan dianggar RM528.6 juta.

"Bagi tempoh dua minggu fasa pertama sekatan pergerakan penuh yang bermula hari ini, pergerakan keluar masuk pendatang tanpa izin dijangka meningkat melalui lorong tikus selain berlakunya kegiatan jenayah rentas sempadan di utara Semenanjung serta sempadan Sarawak-Kalimantan.

"Oleh itu, NTF akan memastikan semua agensi keselamatan dan penguatkuasaan yang terbabit bersiap siaga dalam segala aspek bagi menjaga sempadan negara dalam memastikan tiada pendatang tanpa izin dan kegiatan jenayah rentas sempadan berlaku," katanya.

Dalam perkembangan lain, Affendi berkata, Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Medan ATM di Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang sudah beroperasi sepenuhnya pada 30 Mei lalu dengan kapasiti 24 katil.

Bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, ATM selesai memberikan 112,348 dos vaksin kepada 56,174 pegawai dan anggota setakat ini berdasarkan bidang penugasan dan kawasan berisiko tempat bertugas termasuk petugas pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan di Markas NTF.

"Pada Jun ini, ATM akan menerima 81,900 dos vaksin bagi meneruskan program vaksinasi kepada anggota, selain ATM dijangka menerima kuota tambahan vaksin untuk diberikan kepada veteran dan ahli keluarga warga ATM," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X