Selasa, 1 Jun 2021 | 5:13pm
FOTO arkib NSTP
FOTO arkib NSTP

Pemandu teksi sambut baik bantuan PEMERKASA+

KUALA LUMPUR : Persatuan teksi dan pemandu e-hailing menyambut baik bantuan RM500 secara sekali bayar melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) tetapi berharap pelaksanaannya diperkemaskan.

Mereka mendakwa, ramai pemandu teksi dan e-hailing belum menerima bantuan yang diumumkan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) sebelum ini berikutan masalah teknikal dan syarat kelayakan.

Yang Dipertua Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM), Kamarudin Mohd Hussain, berkata pihaknya masih menerima aduan daripada persatuan dan ahli khususnya di Sabah dan Sarawak yang belum menerima dua bantuan yang diumumkan sebelum ini.

Katanya, masalah yang dihadapi kira-kira 2,000 pemandu teksi itu berlaku apabila nama mereka tercicir daripada rekod Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

"Saya berharap kali ini tidak mengalami nasib sama dengan bantuan yang dibuat melalui PRIHATIN dan PERMAI.

"Kita minta biarlah bantuan PEMERKASA+ ini sampai kepada semua 40,000 pemandu teksi dan kalau boleh kerajaan wujudkanlah jawatankuasa khas untuk menyelidik kenapa masih ada yang belum menerima dua bantuan yang diumumkan sebelum ini," katanya kepada BH hari ini.

Melalui PEMERKASA+, kerajaan memperuntukkan RM68 juta bagi bantuan khas secara sekali bayar RM500 kepada 17,000 pemandu pelancong, pemandu teksi (40,000), pemandu bas sekolah (11,000), bas persiaran (4,000) dan pemandu kereta sewa dan e-hailing (62,000) bermula Julai ini.

Mengenai Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi yang akan dilancarkan minggu ini dengan peruntukan RM1 bilion, Kamarudin berkata perkara itu lebih banyak menguntungkan syarikat berbanding pemandu teksi.

Katanya, ramai pemandu teksi di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang tidak dapat menerima manfaat moratorium itu kerana mereka menyewa beli teksi daripada syarikat.

"Kebanyakan syarikat ini mendapat moratorium daripada bank atau syarikat kredit namun malangnya syarikat tidak memanjangkan moratorium ini kepada pemandu.

"Pemandu tetap kena bayar sewa harian tanpa pengecualian dan jika gagal, kereta akan ditarik oleh syarikat," katanya.

Sementara itu beliau, berkata pada masa ini GTSM giat menghubungi kerajaan-kerajaan negeri supaya memperkenalkan bantuan dalam bentuk bakul makanan sebagaimana yang telah dilaksanakan Kerajaan Negeri Selangor.

Presiden Persatuan Pemandu E-Hailing Malaysia (MeHDA), Daryl Chong, pula berharap kelayakan untuk menerima bantuan sekali bayar itu dilonggarkan kerana syarat yang diguna pakai dalam PENJANA dan PERMAI sebelum ini menyebabkan ramai yang gagal menerimanya.

Beliau berkata, bantuan melalui PENJANA mensyaratkan pemandu meraih pendapatan minimum RM1,200 manakala PERMAI pula RM700 dengan jangka masa tiga bulan.

"Sepanjang tiga bulan itu, mereka mestilah sekurang-kurangnya mencapai syarat minimum pendapatan sekali untuk layak menerima bantuan.

"Malangnya ramai gagal kerana kebetulan dalam masa tiga bulan sebelumnya dia kurang memandu atas sebab sebab tertentu seperti sakit, menjaga ibu bapa atau kereta rosak akibat kemalangan. Ini tidak adil.

"Adalah lebih baik syarat tiga bulan itu dipanjangkan menjadi enam bulan, dengan cara ini lebih ramai dapat dibantu," katanya.

Memburukkan keadaan, katanya ada juga kes pemandu gagal mendapat bantuan berkenaan kerana namanya tercicir dan tidak diserahkan oleh syarikat e-hailing.

"Apabila senarai nama diberi oleh syarikat e-hailing, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) anggap ia adalah senarai nama terakhir. Kalau syarikat tercicir nama, pemandu akan menjadi mangsa," katanya.

Katanya, proses membuat rayuan bantuan juga mestilah diuruskan secara efisien kerana pada masa ini banyak rayuan yang tidak dibalas.

"Saya simpati melihat ada pemandu yang tertunggu-tunggu status rayuan mereka. Ada yang langsung tiada maklum balas," katanya.

Daryl dalam pada itu menggesa kerajaan turut memberi keutamaan kepada pemandu e-hailing untuk mendapatkan vaksin COVID-19 kerana mereka sentiasa terdedah kepada risiko jangkitan sewaktu bertugas.

"Bagi yang takut, dia tak akan memandu. Masalahnya, apabila pendapatannya terjejas, mereka tidak berpeluang mendapatkan bantuan kerana jumlah pendapatannya tidak mencukupi," katanya.

Berita Harian X