Ahad, 30 Mei 2021 | 5:41pm
 Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan. - NSTP/Mohd Amin Jalil
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan. - NSTP/Mohd Amin Jalil

PdPR perlu perancangan jelas, atasi masalah murid

SEREMBAN: Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) memerlukan perancangan lebih jelas bagi mengelak kebimbangan dan kerisauan ibu bapa terus berpanjangan.

Ia susulan beberapa isu membabitkan pelaksanaan kaedah itu masih dihadapi murid ketika sesi persekolahan bersemuka sebelum ini, selain penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya fasa pertama bermula Selasa ini hingga 14 Jun depan.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan, berkata Kementerian Pendidikan (KPM) perlu memaklumkan perancangan PdPR yang jelas iaitu sampai bila dan setakat mana ia dilaksanakan bagi memudahkan persediaan ibu bapa serta murid.

"Kami berharap kementerian dapat memperkemaskan pelaksanaan PdPR dengan mengambil kira aspek psikologi dan kesihatan mental murid susulan pelaksanaan PKP sepenuhnya mulai Selasa ini.

"Isu PdPR seperti capaian internet yang lemah terutama di kawasan luar bandar, selain kemudahan alat peranti kepada murid perlu ditangani dengan baik dan secepat mungkin," katanya di sini, hari ini.

Mohd Azizee berkata, rancangan pengagihan 150,000 komputer riba kepada murid dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah atau B40 seperti dijanjikan perlu disegerakan.

Beliau berkata, tindakan itu penting kerana tempoh PKP ini tidak dapat dijangka dan ada kemungkinan mengambil masa lebih lama.

"Tanpa alat peranti dan kelemahan liputan internet yang berlarutan akan menjejaskan program PdPR ini," katanya.

Mohd Azizee berkata, pihaknya juga berharap program vaksinasi dapat dilaksanakan kepada semua guru tanpa mengehadkan guru berisiko saja, selain staf sekolah dan

pemandu bas sekolah.

"Jika sekolah dibuka kepada pelajar tahun peperiksaan, vaksinasi juga perlu dapat dipertimbangkan untuk pelajar dan ibu bapa berkenaan," katanya.

Berita Harian X