Sabtu, 29 Mei 2021 | 9:50pm

Dua daripada empat kematian babitkan warga Besut

KUALA TERENGGANU: Dua daripada empat kematian akibat COVID-19 hari ini adalah warga emas dari daerah Besut, kata Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus.

Kes kematian pertama adalah seorang wanita berusia 70 tahun dari Kampung Alor Lintang, Besut, yang mempunyai sejarah penyakit darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang. Mangsa ke Hospital Besut (HB) untuk mendapatkan rawatan selepas mengalami gejala demam dan batuk selama seminggu pada 10 Mei lalu.

"Berikutan keadaan klinikal yang tidak memuaskan, mangsa dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan di wad kecemasan (ICU) dan disahkan meninggal dunia semalam.

"Kes kematian kedua juga turut membabitkan seorang lelaki warga emas berusia 80 tahun dari Kampung Lak Lok, Besut," katanya menerusi Facebook hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, mangsa didapati positif COVID-19 melalui aktiviti saringan kontak rapat dan dimasukkan ke Hospital Setiu (HS) untuk rawatan Khamis lalu. Mangsa mengalami kemerosotan fungsi pernafasan selepas dua hari kemasukan ke wad dan disahkan meninggal dunia, hari ini.

"Seorang lelaki berusia 37 tahun dari Kertih, Kemaman, tanpa sejarah penyakit kronik didapati positif COVID-19, melalui ujian saringan gejala dan dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID (PKRC) untuk pengasingan serta rawatan, Khamis lalu. Mangsa disahkan meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas, semalam," katanya.

Kematian keempat yang dilaporkan membabitkan seorang lelaki warga emas berusia 76 tahun dari Paka, Dungun. Mangsa yang mempunyai sejarah penyakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang kronik dimasukkan ke Hospital Dungun (HD), selepas tidak sedarkan diri di rumahnya, Rabu lalu.

"Mangsa disahkan positif COVID-19, melalui ujian PCR dan meninggal dunia hari ini," katanya.

Dr Nor Azimi berkata, bagi memastikan keadaan pandemik COVID-19 terkawal, orang ramai digesa sentiasa patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk mengelakkan perkumpulan, elakkan membuat pergerakan keluar masuk ke kawasan berisiko seperti zon merah dan jingga serta menangguhkan aktiviti membabitkan kehadiran ramai.

Berita Harian X