Sabtu, 29 Mei 2021 | 3:54pm
Anggota bomba memasukkan air ke dalam penghadang plastik di sekatan jalan raya di Kampung Gaung, susulan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mukim Kuala Berang, hari ini. - Foto BERNAMA
Anggota bomba memasukkan air ke dalam penghadang plastik di sekatan jalan raya di Kampung Gaung, susulan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mukim Kuala Berang, hari ini. - Foto BERNAMA

Zon hijau jadi zon PKPD

HULU TERENGGANU: Kluster Hari Raya menyebabkan daerah Hulu Terengganu yang dikategorikan zon hijau sejak bermulanya penularan COVID-19, Mac tahun lalu tiba-tiba bertukar zon merah.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus, berkata kedegilan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) disebabkan menyambut Hari Raya, dalam sekelip mata terdapat 124 kes aktif disumbangkan melalui lima kluster di daerah Hulu Terengganu.

Katanya, kluster di Mukim Hulu Telemong, ada sejarah balik beraya dalam keadaan bergejala dari Melaka menyebabkan 10 pekerja di pejabat disahkan positif COVID-19.

"Jabatan Kesihatan negeri sedang mengesan semua kontak rapat termasuk pekerja yang disahkan positif.

"Ada kes sejarah balik kampung daripada Johor Baharu dua hari sebelum Hari Raya, melakukan ziarah di antara ahli keluarga terdekat. Akhirnya 24 orang disahkan positif," katanya melalui catatan Facebook, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud (dua, kanan) meninjau proses pemasangan penghadang di laluan tikus Jalan Kampung Buluh ke Kuala Por dalam mukim Kuala Berang hari ini.- Foto BERNAMA
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud (dua, kanan) meninjau proses pemasangan penghadang di laluan tikus Jalan Kampung Buluh ke Kuala Por dalam mukim Kuala Berang hari ini.- Foto BERNAMA

Dr Nor Azimi berkata, kes itu merebak ke pasar dan empat pekerja am di pasar itu turut disahkan positif.

"Kita masih mengesan macam mana risiko peniaga dan pembeli di pasar berkenaan kerana semuanya terdedah dan ditakuti berlaku jangkitan secara meluas tanpa sedar.

"Satu lagi kluster di taman perumahan, balik beraya di Bentong dan tergamak pula beraya dengan jiran. Akhirnya enam disahkan positif, manakala kontak rapat menjangkau ratusan orang," katanya.

Dr Nor Azimi berkata, seorang individu balik dari Johor Baharu untuk berkahwin tapi melakukan ziarah Hari Raya dengan keluarga terdekat dan akhirnya lima disahkan positif.

Katanya, kes yang berlaku di mukim Tanggol, Kuala Berang membabitkan 14 orang ziarah ahli keluarga yang meninggal dunia di daerah Marang.

"Tanpa diketahui, rupanya ada di antara ahli keluarga yang meninggal dunia ada kes positif dan akhirnya 14 orang disahkan positif.

"Andainya 14 orang itu duduk di rumah boleh dimaafkan. Tetapi jika mereka bergerak ke sana dan ke sini, kita anggarkan 140 orang lagi terdedah kepada jangkitan pandemik COVID-19," katanya.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud (dua, kanan) meninjau sekatan jalan raya pelaksanaan PKPD Mukim Kuala Berang Jalan Ajil- Kuala Berang hari ini. -Foto BERNAMA
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud (dua, kanan) meninjau sekatan jalan raya pelaksanaan PKPD Mukim Kuala Berang Jalan Ajil- Kuala Berang hari ini. -Foto BERNAMA

Dr Nor Azimi berkata, gara-gara segelintir individu yang melanggar SOP hanya disebabkan ingin beraya bersama keluarga, kes penularan COVID-19 semakin menganas dan akhirnya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) terpaksa dikuatkuasakan, bagi membendung penularan di mukim Kuala Berang.

"Kenapa begini sikap kalian...? Nak kata tak tahu, rasanya bersepah nasihat melalui media masa diberikan terutama berkaitan dengan SOP Hari Raya dan itu namanya memperlekeh SOP.

"Jawapan skema majoriti kes - ingatkan tak ada apa-apa. Tetapi adakah mereka ingat selama ini COVID-19 itu hanya satu rekaan?" katanya.

Berita Harian X