Sabtu, 29 Mei 2021 | 3:27pm

'Sebahagian besar ada surat kebenaran perjalanan'

GOMBAK: Cuti hujung minggu ini menyaksikan lebuh raya Plaza Tol Gombak mengalami kesesakan sebelum melepasi sekatan jalan raya pasukan keselamatan.

Tinjauan BH sejak jam 9 pagi tadi mendapati, kesesakan lebih satu kilometer dikesan menghala ke Pantai Timur.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, yang turut bersama BH dalam tinjauan lebih empat jam itu berkata, sebahagian besar pengguna mempunyai surat kebenaran sah sebelum dibenarkan melepasi sekatan jalan raya di Plaza Tol Gombak.

Katanya, mereka mempunyai surat kebenaran atas urusan kerja yang disahkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), selain kebenaran polis.

"Ada yang mempunyai kebenaran atas faktor kecemasan dan perubatan serta Pasangan Jarak Jauh (PJJ)," katanya selepas memeriksa sendiri sebahagian besar pengguna jalan raya di Plaza Tol Gombak, tengah hari tadi.

Bagaimanapun, katanya, seramai 14 pemilik kenderaan diarah berpatah balik selepas memberikan alasan tidak munasabah, selain mengemukakan dokumen tidak lengkap dan meragukan.

"Ada antara 14 pemandu yang diarah berpatah balik itu membawa rakan tanpa dokumen perjalanan rentas negeri sedangkan surat kebenaran menyatakan faktor PJJ untuk pemegang surat bertemu isterinya di Pahang," katanya di sini, hari ini.

Anggota polis daerah Gombak memeriksa kenderaan di sekatan jalan raya berhampiran Tol Gombak menghala Pantai Timur, hari ini. - NSTPR/Hazreen Mohamad
Anggota polis daerah Gombak memeriksa kenderaan di sekatan jalan raya berhampiran Tol Gombak menghala Pantai Timur, hari ini. - NSTPR/Hazreen Mohamad

Keadaan lebuh raya yang sesak berikutan sekatan jalan raya dan pemeriksaan teliti oleh anggota polis dan tentera berikutan pelaksanaan PKP 3.0 di Plaza Tol Gombak arah Pantai Timur hari ini. - Foto BERNAMA

Mengulas kesesakan di laluan berkenaan, Arifai berkata, ia mungkin berlaku atas faktor ramai memilih untuk melakukan pergerakan ke Pantai Timur antara jam 9 pagi hingga 10 pagi.

Katanya, pihak polis membuat pemeriksaan terperinci bagi mengelak orang ramai mengambil kesempatan melakukan pergerakan rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, memuat naik gambar kesesakan lalu-lintas di Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Sungai Besi, yang menunjukkan pergerakan besar-besaran menuju ke Pantai Timur dan selatan, pagi tadi.

Keadaan lebuh raya yang sesak berikutan sekatan jalan raya dan pemeriksaan teliti oleh anggota polis dan tentera berikutan pelaksanaan PKP 3.0 di Plaza Tol Gombak arah Pantai Timur hari ini. - Foto BERNAMA
Keadaan lebuh raya yang sesak berikutan sekatan jalan raya dan pemeriksaan teliti oleh anggota polis dan tentera berikutan pelaksanaan PKP 3.0 di Plaza Tol Gombak arah Pantai Timur hari ini. - Foto BERNAMA

Katanya, pergerakan sedemikian boleh membawa jangkitan wabak dari satu kawasan ke kawasan lain.

"Ini tidak akan membantu dalam usaha membendung penularan jangkitan virus COVID-19.

"Duduklah di rumah dan hanya keluar jika ada urusan penting," katanya menerusi ciapan di Twitter.

Anggota polis daerah Gombak memeriksa kenderaan di sekatan jalan raya berhampiran Tol Gombak menghala Pantai Timur, hari ini. - NSTPR/Hazreen Mohamad
Anggota polis daerah Gombak memeriksa kenderaan di sekatan jalan raya berhampiran Tol Gombak menghala Pantai Timur, hari ini. - NSTPR/Hazreen Mohamad
Berita Harian X