Sabtu, 29 Mei 2021 | 2:40pm

70,000 anggota PDRM, agensi KDN digerakkan

PUTRAJAYA: Seramai 70,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan ditugaskan sepanjang penutupan penuh bermula 1 Jun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata sebagai langkah awal, pihaknya akan menambah 15,000 anggota PDRM bermula 1 Jun ini.

Hamzah berkata, anggota agensi lain akan digerakkan bagi tujuan penugasan jika keadaan memerlukan.

"Sebelum ini seramai 37,000 anggota PDRM sudah dikerahkan sebelum pelaksanaan penutupan penuh ini.

"Susulan perbincangan tadi dan melihat segala aspek, kita bersetuju untuk membuat penambahan anggota.

"Bagaimanapun kalau dalam tempoh dua minggu itu kita lihat anggota sedia ada tidak mencukupi, kita akan gerakkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan lain-lain agensi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan berkaitan penutupan semua sektor ekonomi dan sosial sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di kementeriannya, di sini hari ini.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau 'total lockdown' selama 14 hari bagi Fasa Pertama di seluruh negara, mulai Selasa hingga 14 Jun depan.

Pelaksanaan Fasa Kedua bagi tempoh empat minggu pula selepas Fasa Pertama berakhir dengan pembukaan beberapa sektor ekonomi tidak membabitkan perhimpunan besar dan boleh mematuhi penjarakan fizikal akan dibenarkan, jika kes harian COVID-19 berjaya diturunkan pada Fasa Pertama.

Sementara itu, Hamzah berkata, sekatan jalan raya di seluruh negara akan ditambah daripada 600 kepada lebih 800 bermula 1 Jun.

Pemeriksaan mengejut akan dilakukan pasukan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bersama beberapa agensi di bawah KDN.

"Pemeriksaan mengejut akan dilakukan secara menyeluruh termasuk di luar bandar," katanya.

Anggota polis daerah Gombak memeriksa kenderaan di sekatan jalan raya berhampiran Tol Gombak menghala Pantai Timur. - NSTP/Hazreen Mohamad
Anggota polis daerah Gombak memeriksa kenderaan di sekatan jalan raya berhampiran Tol Gombak menghala Pantai Timur. - NSTP/Hazreen Mohamad

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) membantu pasukan polis melakukan pemantauan penguatkuasaan PKP di sekatan jalan raya Bau-Serikin. - Foto BERNAMA
Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) membantu pasukan polis melakukan pemantauan penguatkuasaan PKP di sekatan jalan raya Bau-Serikin. - Foto BERNAMA

Anggota PDRM dan ATM mengawal dan memeriksa kenderaan di sekatan jalan raya Lebuhraya Persekutuan ketika PKP 3.0 susulan peningkatan kes COVID-19 di seluruh negara. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Berita Harian X