Rabu, 26 Mei 2021 | 3:26pm
Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

PDRM tambah SJR, perkasa PKP 3.0 - KPN

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan pemantauan dalam memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) susulan tindakan kerajaan memperketatkan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, bermula semalam.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata PDRM menerusi semua kontinjen negeri di seluruh negara menambah bilangan sekatan jalan raya serta pasukan pemantauan SOP susulan arahan dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi tujuan itu.

"Bermula semalam, kita menambah 51 sekatan jalan raya di seluruh negara kepada 576 sekatan berbanding 525 sekatan didirikan bagi melaksanakan PKP 3.0 sejak 12 Mei lalu.

"Penambahan bilangan sekatan jalan raya ini diperkuatkan dengan penambahan kekuatan anggota yang ditugaskan di semua sekatan jalan raya iaitu kepada 10,114 anggota berbanding 9,391 anggota sebelum ini," katanya kepada BH, hari ini.

Acryl Sani berkata, bilangan pasukan pemantauan pematuhan SOP turut ditambah daripada 3,103 pasukan sebelum ini kepada 3,503 pasukan.

"Penambahan pasukan ini bagi membolehkan lebih banyak operasi pemantuan SOP dilaksanakan untuk memastikan orang ramai termasuk semua sektor sosial dan sektor ekonomi mematuhi SOP PKP terbaharu yang ditetapkan.

"Kita minta semua pihak terus mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha kita memutuskan rantaian wabak COVID-19," katanya.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim dilaporkan berkata langkah menambah sekatan jalan raya bertujuan membuat semakan lebih teliti ke atas pengguna jalan raya yang melakukan pergerakan rentas daerah dan negeri selain menyekat sebarang pergerakan tanpa kebenaran.

Katanya, anggota bertugas di sekatan jalan raya akan membuat semakan lebih teliti termasuk ke atas pengguna jalan raya bertujuan untuk bekerja, walaupun mereka ada surat daripada majikan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Ini termasuk mereka yang mempunyai permit pergerakan PKP daripada polis untuk tujuan kecemasan atau pasangan jarak jauh (PJJ) atau tujuan lain yang dibenarkan, akan disemak lebih teliti kerana kita tidak mahu berlaku penipuan.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri, dilaporkan berkata masa operasi perniagaan akan dihadkan dari jam 8 pagi sehingga 8 malam di seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan susulan pelaksanaan SOP PKP lebih ketat yang bermula semalam.

Waktu operasi perniagaan termasuk di pusat beli-belah dan kedai makan sepanjang PKP 3.0 hanya dibenarkan bermula jam 8 pagi hingga 8 malam kecuali farmasi dibenarkan hingga jam 10 malam.

Selain itu, kerajaan juga tidak membenarkan aktiviti sosial, beriadah dan sukan termasuk majlis rasmi kerajaan kecuali aktiviti secara individu dibenarkan dan sehingga jam 8 malam sahaja.

Berita Harian X