Selasa, 25 Mei 2021 | 12:55pm
Pegawai dan anggota Jabatan Kesihatan menguruskan jenazah seorang lelaki yang disahkan pesakit COVID-19, di Tanah Perkuburan Pasir Panjang, semalam. - Foto NSTP/Baharom Bakar
Pegawai dan anggota Jabatan Kesihatan menguruskan jenazah seorang lelaki yang disahkan pesakit COVID-19, di Tanah Perkuburan Pasir Panjang, semalam. - Foto NSTP/Baharom Bakar

Rentas negeri, daerah beraya punca 90 disahkan positif COVID-19

KUALA TERENGGANU: Tindakan segelintir individu melakukan rentas daerah dan negeri untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga mereka dengan memberikan pelbagai alasan kepada pihak berkuasa menyebabkan sekurang-kurangnya 90 individu disahkan positif COVID-19 di negeri ini.

Perbuatan itu terbongkar selepas ramai ahli keluarga didapati positif COVID-19 di satu lokaliti.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus, berkata di daerah Kuala Terengganu, 13 individu melakukan rentas negeri dengan memberi pelbagai alasan menyebabkan 40 ahli keluarga disahkan positif COVID-19.

Katanya, di daerah Hulu Terengganu, tindakan sembilan individu rentas negeri menyebabkan 26 ahli keluarga mereka positif COVID-19.

"Di daerah Kemaman pula, lapan individu melakukan rentas negeri serta daerah menyebabkan 24 ahli keluarga disahkan positif. Secara keseluruhannya, 90 disahkan positif COVID-19 disebabkan kegagalan 30 individu mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya menerusi Facebook miliknya, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, sebuah pasar raya terpaksa ditutup selama 14 hari kerana 17 pekerjanya disahkan positif COVID-19.

"Mereka ini tentunya bertebar di beberapa daerah, pasti ribuan orang masuk ke pasar raya itu masa nak raya baru ni...cuba bayangkan.

"Orang larang rentas negeri atau daerah untuk beraya kita buat juga dengan memberi pelbagai alasan...balik dari zon merah secara senyap-senyap akhirnya satu keluarga positif," katanya.

Dr Nor Azimi turut mendedahkan, ada individu yang dipakaikan gelang oleh Jabatan Kesihatan dan disuruh kuarantin di rumah tetapi merayau sekali gus memberi risiko kepada orang lain.

"Pelanggaran demi pelanggaran berlaku dan hasilnya kita nampak sekarang...kes naik berlipat kali dan kematian berkali ganda. Walaupun pahit untuk diakui, hakikat kita turut sama penyumbang kepada kenaikan kes.

"Kita akui ramai patuh SOP dan kekal duduk rumah, tetapi masih tidak mencukupi jika ramai lagi yang ingkar dan langgar SOP," katanya.

Dr Nor Azimi berkata, hari ini bermulanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, justeru seluruh masyarakat diminta kekal patuh SOP dan mengehadkan pergerakan.

Berita Harian X