Isnin, 24 Mei 2021 | 5:23pm
Gambar hiasan. - Foto Google
Gambar hiasan. - Foto Google

Satu kes kematian akibat rabies di Sarawak

PUTRAJAYA: Satu kematian akibat jangkitan rabies manusia direkodkan di Sarawak, sehari selepas mangsa disahkan positif pada 5 Mei lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia kes rabies manusia ketiga dilaporkan di Sarawak tahun ini.

Beliau berkata, mangsa berusia 45 tahun itu pada mulanya digigit anjing peliharaannya di tangan kiri ketika meleraikan haiwan itu yang berlawan dengan anjing lain pada 9 Mac lalu.

Katanya, mangsa yang tinggal di Rh Janggu, Sungai Tepus, Selangau, Sarawak, kemudian mencuci luka lalu mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tepus pada hari sama sebelum suntikan anti-tetanus diberikan dan temujanji susulan diberikan.

"Malangnya, kes tercicir daripada rawatan susulan dan selepas berjaya dikesan, kes diberi suntikan vaksin anti-rabies dos pertama pada 29 April lalu.

"Namun, kes mengadu sakit mata, lemah badan dan kebas di bahagian

tangan kiri ketika hadir mendapatkan suntikan dos kedua pada 2 Mei lalu dimasukkan ke wad di Hospital Sibu untuk rawatan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sampel klinikal untuk ujian pengesanan virus rabies diambil daripada mangsa dan dihantar ke makmal Hospital Umum Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sebelum keputusan sampel dilaporkan positif rabies pada 5 Mei lalu.

Bagaimanapun, katanya, keadaan pesakit semakin merosot dan mangsa meninggal dunia pada jam 7.13 pagi 6 Mei lalu, dengan diagnosis rabies encephalitis.

Beliau berkata, sejak wabak rabies diisytiharkan pada 1 Julai 2017 di Sarawak, jumlah kes adalah 34 dengan 32 kematian manakala dua kes kanak-kanak yang masih hidup mengalami komplikasi neurologi yang teruk.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, jangkitan virus rabies yang berlaku di luka gigitan haiwan apabila tidak diambil tindakan rawatan segera, ia akan menyebabkan kematian sekiranya jangkitan sampai ke otak.

"Justeru, Kementerian Kesihatan (KKM) ingin menasihati orang awam khususnya di Sarawak sentiasa mengambil langkah pencegahan bagi mengelak jangkitan virus rabies dengan segera mencuci luka digigit, dicakar atau terkena air liur haiwan menggunakan air mengalir dan sabun selama sekurang-kurangnya 15 minit.

"Mereka juga perlu segera dapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital terdekat, memastikan vaksin anti-rabies lengkap diterima mengikut temujanji yang diberikan oleh pengamal perubatan, walaupun ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) semasa pandemik COVID-19 ini dan tidak mengendalikan sebarang haiwan liar, termasuk anjing dan kucing liar," katanya.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham menasihati orang awam khususnya di Sarawak yang mempunyai haiwan peliharaan, mengikuti langkah sentiasa mengekalkan tahap kebersihan (hygiene) diri yang optima seperti amalan cuci tangan menggunakan air mengalir dan sabun selepas mengendalikan haiwan peliharaan; memastikan haiwan peliharaan terutamanya anjing dibawa untuk suntikan anti-rabies setiap tahun supaya dilindungi daripada jangkitan virus rabies.

Beliau berkata, orang awam juga dinasihatkan tidak melepaskan haiwan peliharaan bebas berkeliaran bagi mengelakkan risiko dijangkiti rabies oleh anjing liar atau kucing liar atau haiwan mamalia liar lain; tidak cuba menangkap, menyentuh atau membunuh haiwan peliharaan yang berubah tingkah laku termasuk menjadi agresif atau muram; melaporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berhampiran untuk tindakan lanjut terhadap haiwan terbabit.

"Kemungkinan anjing liar dijangkiti virus rabies amat tinggi di kawasan berwabak.

"Justeru, laporkan kepada PBT jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan kawalan populasi haiwan peliharaan amat digalakkan serta dapatkan nasihat daripada doktor veterinar kerajaan atau swasta berhampiran," katanya.

Berita Harian X