Isnin, 24 Mei 2021 | 1:47pm
Foto hiasan NSTP
Foto hiasan NSTP

11 barangan dalam SHMMP Pesta Kaamatan, Hari Gawai 2021

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyenaraikan 11 barangan dalam pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Hari Gawai tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata SHMMP itu bertujuan memastikan harga barangan keperluan berpatutan sepanjang sambutan perayaan Pesta Kaamatan yang akan disambut oleh penduduk di Labuan dan Sabah pada 31 Mei dan Hari Gawai di Sarawak pada 1 Jun ini.

SHMMP Pesta Kaamatan 2021 akan bermula pada 27 Mei hingga 2 Jun selama tujuh hari, iaitu tiga hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan tiga hari selepas perayaan.

Bagi SHMMP Hari Gawai 2021 tarikh berkuat kuasa adalah pada 28 Mei hingga 3 Jun, juga selama tujuh hari, iaitu empat hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan dua hari selepas perayaan.

"Sebanyak 11 jenis barangan dikenal pasti bagi pelaksanaan skim ini terdiri daripada kategori barangan harga terkawal seperti ayam, telur ayam dan babi," katanya ketika mengumumkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2021 secara maya hari ini.

Alexander berkata, Kementerian itu akan mengadakan pemeriksaan dan pemantauan di premis berkaitan di Labuan dan Sarawak bagi memastikan peniaga patuh dengan SHMMP. Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Senarai barangan bagi SHMMP Pesta Kaamatan 2021 adalah terdiri daripada ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya), ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal), kepak ayam, telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji), telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji), telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji).

Turut tersenarai, daging kerbau import (India), babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja), daging babi (perut) daging babi (daging dan lemak).

Bagi senarai barangan bagi SHMMP Hari Gawai 2021 terdiri daripada ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam tua hidup, kepak ayam, telur ayam gred A, telur ayam gred B dan telur ayam gred C.

Senarai barangan lain terdiri daripada babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja), daging babi (perut), dan daging babi (daging dan lemak).

Berita Harian X