Isnin, 24 Mei 2021 | 12:27pm
Petugas Pengurusan Jenazah Mangsa COVID-19, menguruskan jenazah di Tanah Perbukuran Islam Setali, Kuantan. - Foto fail NSTP / Farizul Hafiz Awang
Petugas Pengurusan Jenazah Mangsa COVID-19, menguruskan jenazah di Tanah Perbukuran Islam Setali, Kuantan. - Foto fail NSTP / Farizul Hafiz Awang

COVID-19: 2 lagi maut di Besut

KUALA TERENGGANU: Dua lagi kematian baharu akibat COVID-19 direkodkan membabitkan dua lelaki dari Besut semalam.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus, berkata ia membabitkan mangsa yang berusia 73 tahun dari Kampung Gong Macang, Beting Lintang dan seorang lelaki berusia 52 tahun dari Kampung Dengir, Bukit Puteri.

Katanya, kematian dua mangsa hanya berselang dua jam sahaja ketika mendapatkan rawatan lanjut.

"Sesungguhnya setiap kematian akibat COVID-19 sangat menyayat hati apabila disahkan positif COVID-19 mereka keseorangan dalam wad.

"Tidak boleh dilawati apalagi ditemani dan apabila meninggal (dunia) mereka keseorangan juga sebab bukan ahli keluarga yang menguruskan mereka sebaliknya disempurnakan oleh petugas kesihatan dan lain agensi," katanya menerusi Facebook.

Dr Nor Azimi berkata, ahli keluarga hanya mampu melihat sayu daripada kejauhan sama ada mereka sedang dikuarantin di pusat kuarantin atau sedang dirawat sebagai pesakit COVID-19.

"Majoriti warga tua hanya duduk di rumah namun dari mana mereka mendapat jangkitan ini. Justeru, kita mengingatkan penduduk di Besut untuk terus duduk di rumah jika tiada urusan penting dan patuhi arahan yang dikeluarkan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 ini," katanya.

Menerusi Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, sebanyak 266 kes baharu direkodkan di Terengganu dengan 104 kes dilaporkan di Besut semalam.

Ia menjadikan 1,641 kes COVID-19 aktif di negeri ini dengan 1,631 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa.

Bagaimanapun, 10 kes menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu dengan empat daripada memerlukan alat bantuan pernafasan.

Berita Harian X