Sabtu, 22 Mei 2021 | 9:40pm

PKP 3.0: Sekatan jalan raya ditambah, pemeriksaan diketatkan lagi

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menambah jumlah sekatan jalan raya dan pasukan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan peningkatan jumlah kes jangkitan COVID-19, akhir-akhir ini.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim, berkata jumlah sekatan jalan raya ditambah kepada 441 di seluruh negara sejak dua hari lalu.

Langkah menambah sekatan jalan raya itu, katanya bertujuan membuat semakan lebih teliti ke atas pengguna jalan raya yang melakukan pergerakan rentas daerah dan negeri selain menyekat sebarang pergerakan yang tidak mendapat kebenaran.

"Kita kuatkan sekatan dan buat semakan lebih teliti termasuk ke atas pengguna jalan raya bertujuan untuk bekerja, walaupun mereka ada surat daripada majikan dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Ini termasuk mereka yang mempunyai permit pergerakan PKP daripada polis untuk tujuan kecemasan atau pasangan jarak jauh (PJJ) atau tujuan lain yang dibenarkan, kita akan semak lebih teliti kerana kita tidak mahu berlaku penipuan," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Jelas beliau, penambahan jumlah sekatan jalan raya itu dibuat atas arahan Ketua Polis Negara (KPN) susulan berlaku peningkatan jumlah jangkitan COVID-19 dalam negara yang mencecah angka lebih 6,000 kes sejak kebelakangan ini.

Dalam pada itu, katanya pihaknya turut membuat keputusan menambah jumlah pasukan pemantau pematuhan SOP PKP bagi menambah kekuatan pemantau sedia ada selain untuk menambah jenis pemantauan, bermula semalam.

"KPN sudah membenarkan anggota daripada unit bantuan seperti Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk ditugaskan dalam pasukan pemantau SOP selain sebagai bantuan kepada kontinjen polis negeri yang mengalami kekurangan sumber manusia.

"Bagi negeri-negeri yang mempunyai 'base' (kem atau cawangan) untuk pasukan berkenaan termasuk unit-unit lain, akan menggunakan khidmat mereka dalam pasukan pemantau SOP ini," jelasnya.

Beliau berkata, penambahan itu termasuk anggota dan pegawai PDRM yang sebelum ini tidak bertugas di lapangan atau tidak ditugaskan dalam pasukan pemantau sedia ada.

"Pasukan pemantau sedia ada tidak mampu untuk membuat pemantauan di semua lokasi atau terus melakukan pemantauan di lokasi yang sama 24 jam. Pemeriksaan dijalankan secara rawak namun mulai semalam, kita tambah jenis pemantauan.

Dalam pada itu, katanya susulan keputusan kerajaan mengetatkan SOP PKP 3.0 yang diumumkan hari ini yang mana kebanyakan aktiviti perniagaan hanya dibenarkan daripada jam 8 pagi hingga 8 malam sahaja mulai Selasa ini , pemeriksaan SJR akan lebih ketat selepas jam 8 malam.

"Ini untuk memastikan tiada sebarang pergerakan tidak dibenarkan dalam kalangan pengguna jalan raya.

"Selain itu, kita minta orang ramai mengamalkan kawalan kendiri dan terus mematuhi SOP bagi mengelak dikenakan tindakan. Elakkan aktiviti secara berkumpulan, sekiranya kita terima laporan, anggota kita akan lakukan pemeriksaan," katanya.

Zainal Abidin berkata, rata-rata orang ramai mematuhi SOP walaupun ada segelintir pihak yang masih ingkar namun pihaknya akan terus melakukan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan orang ramai terus mematuhi SOP yang ditetapkan.

Berita Harian X