Jumaat, 21 Mei 2021 | 12:28am

Dua daripada tiga kematian babit warga emas

KUALA TERENGGANU: Dua daripada tiga kematian akibat COVID-19 di Terengganu hari ini babitkan warga emas termasuk seorang wanita.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus, berkata kematian pertama membabitkan seorang lelaki berusia 59 tahun dari Kampung Lubuk Kawah, Besut. Mangsa yang menghidap kencing manis dibawa untuk rawatan di Hospital Besut (HB) selepas mengalami gejala selama empat hari pada 2 Mei lalu.

"Mangsa dilaporkan mengalami kemerosotan fungsi pernafasan serius dan segera diberikan alat bantuan pernafasan serta dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

"Walaupun rawatan intensif berterusan diberikan selama 18 hari, mangsa disahkan meninggal dunia semalam," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, kes kematian kedua membabitkan lelaki berusia 78 tahun dari Kampung Raja, Besut. Mangsa diberi rawatan di Wad Kecemasan HSNZ termasuk bantuan alat pernafasan meninggal dunia, semalam.

Dr Nor Azimi berkata, kematian ketiga pula membabitkan seorang wanita warga emas berusia 89 tahun dari Kampung Mengabang Telong, Kuala Nerus. Mangsa dikatakan pulang ke kediaman dari pusat penempatan warga tua di Besut pada 11 Mei lalu.

"Mangsa dikesan menjadi kontak rapat kepada kes positif di pusat penempatan itu dan mengalami sesak nafas teruk menyebabkannya tidak sedarkan diri dan meninggal dunia pada Rabu lalu," katanya.

Dr Nor Azimi berkata, sebanyak 233 kes baharu aktif COVID-19 dilaporkan di negeri itu menjadikan terdapat 1,350 kes aktif dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,377 kes.

Berita Harian X