Rabu, 19 Mei 2021 | 2:14pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Kejayaan PdPR bergantung kepada ibu bapa, murid

KUALA LUMPUR: Kejayaan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini bergantung kepada keupayaan ibu bapa dan murid dalam mendepani persekitaran pembelajarannya.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, berkata bebanan PdPR ini memang diakui lebih bertumpu kepada ibu bapa dan murid, berbanding guru dan pihak sekolah.

Bagaimanapun, katanya, ibu bapa perlu mencari jalan untuk mengurangkan tekanan yang dialami dalam memastikan anak mereka mendapat pembelajaran sempurna dan proses itu seeloknya tidak boleh terganggu.

"Kita perlu terus memberi kefahaman kepada ibu bapa dan murid mengenai keperluan mendesak PdPR kerana pelaksanaannya tidak mudah. Sebenarnya kita sudah tidak ada pilihan lain yang berkesan untuk meneruskan sesi pembelajaran ketika pandemik masih berterusan ketika ini.

"Inilah sebenarnya yang memberi cabaran kepada guru untuk mendapatkan komitmen murid dan ibu bapa. Kaedah pembelajaran saya lihat guru semakin menguasai dengan pelbagai modul digunakan sepanjang tempoh PdPR," katanya ketika menjadi panel dalam program Bicara BH:PdPR dilaksana lagi, sudah bersediakah guru, murid? secara hari ini.

Turut menjadi panel pada program dihoskan Fazilah Hani Harun itu adalah Pakar Pendidik, Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad.

PdPR dilaksanakan semula selama dua minggu bermula Ahad lalu hingga Khamis depan bagi menggantikan sesi bersemuka di sekolah, ekoran penularan jangkitan COVID-19 yang semakin membimbangkan di seluruh negara.

Sesi pembelajaran bagi sekolah kumpulan A membabitkan sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, bermula Ahad lalu, manakala sekolah kumpulan B iaitu di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya bermula Isnin lalu hingga Jumaat depan.

Aminuddin berkata, jika kurangnya sambutan ibu bapa dan murid serta permasalahan PdPR dihadapi mereka ini masih berterusan, langkah terbaik adalah menutup dan membuat penjadualan semula sesi persekolahan.

"Dalam kajian tahun lalu pun, menunjukkan 93 peratus guru lebih memilih pembelajaran bersemuka berbanding PdPR ini, sebab impak PdPR tidak sama dengan PdP bersemuka.

"Pembelajaran bersemuka dilihat lebih berkesan berbanding PdPR. Dalam keadaan tertentu juga, guru memang boleh menerima PdPR, namun tidak bagi ibu bapa," katanya.

Beliau berkata, permasalahan seperti liputan internet yang baik dan akses menyeluruh kepada peranti oleh murid serta ibu bapa masih belum dapat diselesaikan, memaksa PdPR tidak begitu berkesan.

"Dari segi persediaan guru dan sekolah, walaupun ada isu juga dari segi capaian internet dan penguasaan guru mengajar dalam bentuk dan kaedah baharu, namun permasalahan itu lebih mudah diselesaikan pada peringkat sekolah.

"Penyampaian pembelajaran oleh guru di sekolah atau secara dalam talian sentiasa dipantau pengetua dan guru kanan, malah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga turun padang melihat serta menilai keberkesanan guru mengajar.

"Hal ini saya kira semakin bertambah baik," katanya.

Berita Harian X