Rabu, 19 Mei 2021 | 1:34pm
Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran
Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran

Ganti latihan industri kepada kaedah alternatif

SEPANG: Institusi pengajian tinggi (IPT) boleh menggantikan latihan industri kepada beberapa latihan alternatif bersesuaian untuk pelajar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata pihaknya peka dengan kesukaran pelajar untuk menjalani latihan industri sepenuhnya, namun IPT boleh menyediakan latihan lain sewajarnya.

Katanya, alternatif itu bergantung kepada bidang program dan mesti memenuhi hasil pembelajaran yang telah ditetapkan.

"Kaedah lain yang boleh dipertimbangkan adalah seperti industry-based project, problem-based project, topical study atau research project. Aktiviti simulasi dan amali dalam bentuk virtual, dalam talian mahupun 'remote' juga boleh dilaksanakan berdasarkan kesesuaian.

"Kaedah alternatif ini boleh dilaksanakan sebagai penggantian penuh atau sebagai pelengkap kepada latihan industri yang terpaksa dihentikan separuh jalan dan belum memenuhi hasil pembelajaran yang telah ditetapkan," katanya kepada BH, hari ini.

Mohammad Shatar berkata, Advisory Note terkini mengenai Panduan Pengendalian Program Pendidikan Tinggi Semasa Perintah Kawalan Pergerakan telah dikeluarkan MQA pada 8 Februari lalu.

"Sehingga kini, Advisory Note No. 2/2021 itu masih terpakai untuk dirujuk berkaitan perkara ini.

"Advisory Note ini boleh dicapai di laman sesawang www.mqa.gov.my dan Facebook rasmi MQA iaitu OFFICIAL : Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)," katanya.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, IPT bertanggungjawab untuk memastikan pelajar mendapat pendedahan industri yang diperlukan sebagai persediaan mereka di alam pekerjaan dengan memastikan pelajar memenuhi hasil pembelajaran kursus.

Katanya, IPT yang mempunyai program sama dan dijalankan dalam dua mod berbeza iaitu mod kerja kursus serta industri (2u2i) / Work-Based Learning (WBL), boleh mempertimbangkan untuk menukarkan pelajar mod industri kepada mod kerja kursus.

"Dalam tempoh ini, IPT perlu memastikan pelajar dapat menerus dan menamatkan pengajian masing-masing walaupun berhadapan dengan situasi pandemik yang mencabar, masih mendapat kemahiran serta kompetensi yang diperlukan.

"Adalah penting dalam pelaksanaan Latihan Industri, arahan dan SOP pihak berkuasa dipatuhi sepenuhnya kerana keutamaan semasa adalah bagi membendung penularan COVID-19," katanya.

Berita Harian X