Rabu, 19 Mei 2021 | 10:56am
Kerja-kerja pembersihan di Taman Rambai Indah, Bukit Rambai selepas dilanda banjir. - Foto BERNAMA
Kerja-kerja pembersihan di Taman Rambai Indah, Bukit Rambai selepas dilanda banjir. - Foto BERNAMA

Jumlah mangsa banjir di Melaka berkurangan, Sabah kekal

KUALA LUMPUR: Banjir di Melaka semakin pulih pagi ini apabila jumlah mangsa yang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan berbanding semalam.

Bagaimanapun, banjir di Sabah tidak menunjukkan perubahan dengan jumlah mangsa banjir yang masih berada di PPS seluruh negeri itu pagi ini kekal seperti semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol Cuthbert John Martin Quadra dalam kenyataannya hari ini berkata jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS negeri itu berkurangan kepada 478 orang membabitkan 119 keluarga pada 8 pagi ini berbanding 669 orang daripada 149 keluarga pada 4 petang semalam.

Semua mangsa banjir yang terbabit adalah dari 22 kawasan terjejas dan mereka ditempatkan di lapan PPS di seluruh Melaka.

Beliau berkata bagi daerah Melaka Tengah 342 mangsa daripada 84 keluarga ditempatkan di lima PPS, 102 mangsa daripada 27 keluarga ditempatkan di dua PPS di daerah Jasin sementara 34 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di satu PPS di daerah Alor Gajah.

"Sebanyak 11 kawasan di daerah Melaka Tengah terjejas banjir manakala di Jasin melibatkan enam kawasan dan Alor Gajah pula lima kawasan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu di Sabah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS kekal 72 orang daripada 17 keluarga setakat 8 pagi tadi.

Daripada jumlah itu, seramai 46 orang daripada 12 keluarga ditempatkan di PPS Dewan DP Mohd Dun Banir, Beaufort sementara 26 mangsa lagi daripada lima keluarga ditempatkan di PPS Rumah Kebudayaan Kalang Kanar, Tenom.

Kejadian banjir dipercayai berlaku akibat keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan paras air di beberapa batang sungai melimpah dan menenggelamkan beberapa jalan serta kampung. – BERNAMA

Berita Harian X