Selasa, 18 Mei 2021 | 5:59pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Pelajar boleh terus jalani latihan industri, patuh SOP

KUALA LUMPUR: Pelajar dari mana-mana Institut Pendidikan MARA (IPMA) boleh meneruskan latihan industri antara tiga hingga enam bulan mengikut ketetapan majikan masing-masing serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP), ketika pandemik COVID-19.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA, Razlan Samsuri, berkata Bahagian Kemahiran dan Teknikal (BKT) dan Bahagian Pendidikan Tinggi (BPT) MARA mengamalkan pengurusan pendidikan akademik serta latihan pelajar fleksibil tanpa menjejaskan kualiti akademik program.

"Kita benarkan pelajar dari mana-mana IPMA meneruskan latihan industri, merujuk kepada sektor ekonomi yang sudah dibuka oleh kerajaan. Bagaimanapun syarikat dan industri terbabit perlu mendapatkan keputusan sahih kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) terlebih dahulu.

"Beberapa panduan disediakan oleh bahagian berkenaan kepada pelajar yang sedang dan akan mengikuti latihan industri bagi mematuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) yang dikeluarkan kerajaan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk PKP Bersyarat (PKPB), PKP Diperketatkan (PKPD) dan kesediaan majikan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebanyak 284 IPMA di bawah MARA seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), German Malaysian Institut (GMI); Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM); Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM); Kolej Profesional MARA (KPM); MARA Japan Industrial Institut (MJII); Institut Kemahiran MARA (IKM) dan GIATMARA yang terbabit dalam keperluan latihan industri kepada pelajar.

Razlan berkata, MARA menyediakan ekosistem lengkap bagi program pendidikan profesional dan teknikal yang juga instrumen utama dalam melahirkan modal insan berkemahiran, inovatif dan berdaya saing.

"Pelbagai program ditawarkan dengan latihan industri menjadi satu daripada program melatih dan mendedahkan pelajar kepada industri pekerjaan sebenar. Ia juga satu daripada komponen penting pengajian yang memberi syarat wajib lulus kepada semua pelajar IPMA bagi melayakkan mereka menamatkan pengajian masing-masing," katanya.

Susulan isu pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam perlu menjalani latihan industri dalam situasi pandemik COVID-19 yang melanda negara, beliau berkata, MARA juga menasihatkan pelajar jika perlu bekerja di pejabat supaya sentiasa mematuhi SOP bagi mengelak penularan dan jangkitan virus berkenaan.

"Pelajar boleh merujuk terus kepada MARA bagi mendapatkan mendapatkan maklumat lanjut," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLMJI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mahazan Abd Mutalib, berkata pihaknya sentiasa memantau keadaan pelajar yang sedang menjalani latihan industri daripada segi kefahaman SOP, kesihatan, menjawab maklum balas majikan dan menguruskan isu pelajar yang berbangkit akibat pandemik COVID-19.

"Ini juga termasuk membenarkan tempoh latihan industri dipendekkan jika mencapai objektif pembelajaran selaras dengan pekeliling Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Pihak fakulti fleksibel dalam menentukan kaedah pelajar latihan industri. Ini bagi membolehkan pelajar meneruskan pembelajaran dalam dan keselamatan pelajar diutamakan.

"Bagaimanapun, segala keputusan dan tindakan yang diambil oleh USIM adalah merujuk kepada arahan dari masa ke semasa yang dikeluarkan MKN, KKM, KPT dan MQA," katanya.

Mahazan berkata, pelajar yang mengikuti latihan industri perlu terus mengikuti latihan mereka mengikut arahan semasa majikan masing-masing bagi memastikan proses itu berjalan lancar.

"Jika terdapat sebarang permasalahan, pelajar perlu berhubung dengan penyelaras latihan industri atau ketua program masing-masing," katanya.

Berita Harian X