Isnin, 17 Mei 2021 | 10:59pm
Sabtu lalu seorang EXCO Selangor dikatakan memuat naik komen di Facebook mengkritik perutusan khas mengenai Palestin disampaikan Perdana Menteri pada hari itu.
Sabtu lalu seorang EXCO Selangor dikatakan memuat naik komen di Facebook mengkritik perutusan khas mengenai Palestin disampaikan Perdana Menteri pada hari itu.

DAP patut ambil tindakan terhadap Chang Khim

PUTRAJAYA: DAP perlu mengambil tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Khim atas tindakannya memberi komen negatif terhadap perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Palestin pada Sabtu lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Dr Muhammad Faiz Na'aman, berkata tindakan Chang Khim itu tidak memikirkan sensitiviti rakyat Malaysia terutama umat Islam mengenai kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat di Palestin.

Kenyataan biadap Chang Khim yang juga EXCO Kerajaan Selangor membuktikan bahawa ada dalam kalangan pemimpin DAP yang bukan sahaja tidak bersimpati kepada rakyat Palestin, malah menghina pemimpin negara yang bercakap mengenainya.

Katanya, sekiranya apa yang diluahkan itu bukan ideologi parti DAP, Kerajaan Selangor wajar memecat mana-mana EXCO yang mempunyai sifat menebal terhadap elemen yang melanggar sensitiviti rakyat negara ini terutama Melayu Muslim membabitkan isu Palestin.

"Saya ingin bertanya adakah beliau menyokong rejim Zionis Israel selain krisis ekonomi dan penularan wabak COVID-19 di negara ini menghalang sesiapa saja untuk bercakap dan mengulas isu Palestin secara terbuka.

"Adakah ini dasar DAP dan agenda Pakatan Harapan (PH) sekiranyaberkuasa (semula) di negara ini nanti," katanya hari ini.

Sabtu lalu, Chang Khim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Selangor memuatnaik komen di Facebook mengkritik perutusan khas mengenai Palestin disampaikan Perdana Menteri pada hari itu.

Tangkap layar kenyataan biadap beliau itu kemudian tersebar di media sosial serta dikatakan membuktikan bahawa ada dalam kalangan pemimpin DAP yang tidak bersimpati kepada rakyat Palestin, malah menghina pemimpin negara yang bercakap mengenainya.

Bagaimanapun, mesej itu dikatakan sudah dipadamkan daripada akuan Facebook Chang Khim selepas dikritik netizen.

Muhyiddin sebelum ini dilaporkan berkata, Malaysia akan terus berusaha mengajak komuniti antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bertindak segera, bagi memaksa Israel menghentikan serangan terhadap rakyat Palestin.

Ketua ARMADA BERSATU Selangor, Haszrilhafizi Mohayan.
Ketua ARMADA BERSATU Selangor, Haszrilhafizi Mohayan.

Sementara itu, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Selangor, Haszrilhafizi Mohayan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mendakwa Chang Kim kerana mengeluarkan kenyataan biadap terhadap Perdana Menteri dan umat Islam berhubung krisis kemanusiaan di Palestin.

Menurutnya, cara itu lebih berkesan berbanding mendesak parti DAP mengambil tindakan tegas terhadapnya. Tidak ada gunanya kita minta DAP mengenakan tindakan tatatertib atau memecat Chang Khim kerana DAP akan memberikan pelbagai alasan dan perkara sedemikian memang sudah dijangka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, satu laporan polis dibuat oleh Ketua Pemuda Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Fahmi Bazlan, hari ini susulan tindakan tidak bertanggungjawab individu dikenali sebagai Liw Lip Nan di laman Twitter Sabtu lalu yang menyamakan ketuanan Melayu dengan Zionis.

Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan membuat laporan polis ini susulan tindakan tidak bertanggungjawab individu dikenali sebagai Liw Lip Nan di laman Twitter Sabtu lalu yang menyamakan ketuanan Melayu dengan Zionis. - Foto ihsan pembaca
Ketua Pemuda BERJASA, Fahmi Bazlan membuat laporan polis ini susulan tindakan tidak bertanggungjawab individu dikenali sebagai Liw Lip Nan di laman Twitter Sabtu lalu yang menyamakan ketuanan Melayu dengan Zionis. - Foto ihsan pembaca

"Sepatutnya mereka, masyarakat cauvinis ini lebih sensitif, faham dan berterima kasih atas ruang kebebasan bersuara dengan melaungkan semangat perpaduan, bukan mencetuskan provokasi, dan mencucuh api perkauman.

"Penyamaan dengan zionis ini adalah penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu dan perlembagaan yang cukup serius," katanya.

Berita Harian X