Isnin, 17 Mei 2021 | 8:29pm
Petugas Pengurusan Jenazah Mangsa COVID-19, melakukan proses sanitasi selepas menguruskan jenazah di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan pada 12 Mei lalu. Jenazah seorang wanita warga emas yang positif COVID-19, dipercayai dari Kluster Tanah Putih Baru. - Foto fail NSTP/Farizul Hafiz Awang
Petugas Pengurusan Jenazah Mangsa COVID-19, melakukan proses sanitasi selepas menguruskan jenazah di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan pada 12 Mei lalu. Jenazah seorang wanita warga emas yang positif COVID-19, dipercayai dari Kluster Tanah Putih Baru. - Foto fail NSTP/Farizul Hafiz Awang

Malaysia sekali lagi catat kes kematian tertinggi

PUTRAJAYA: Malaysia terus mencatat kes kematian tertinggi hari ini, dengan 45 kes dilaporkan bagi menjadikan jumlah keseluruhan akibat COVID-19 kepada 1,947 kes.

Sebelum ini, angka tertinggi pernah direkodkan ialah 44 kes pada Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah kes kematian itu, 20 kes dilaporkan di Selangor manakala empat kes masing-masing di Kuala Lumpur dan Kelantan.

Katanya, tiga kes lagi masing-masing di Kedah, Perak dan Johor serta dua kes di Negeri Sembilan dan Melaka.

"Turut dilaporkan satu kes kematian masing-masing di Pahang, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah.

"Kes kematian hari ini membabitkan pesakit berusia antara 39 hingga 90 tahun dan kebanyakannya mempunyai pelbagai penyakit kronik," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Mengenai 14 kluster baharu yang dikesan, beliau berkata, tujuh daripadanya membabitkan kluster komuniti, empat kluster keagamaan serta tiga di tempat kerja.

"Tiga kluster komuniti itu dikesan di Pasir Mas, Kelantan yang dikenali sebagai Kluster Taman Repek yang menjangkiti sembilan individu, Kluster Kampung Kual (15) dan Kluster Kampung Perah (22).

"Dua kluster komuniti di Pahang dikesan di daerah Bera, Bentong dan Jerantut iaitu Kluster Kampung Paya Teh (68) dan Kluster Taman Jati (13).

"Kluster komuniti turut dikesan di daerah Kuching dan Bau, Sarawak yang dikenali sebagai Kluster Jalan Jambusan yang sudah menjangkiti 17 kes serta Kluster Jalan Iman Jalilul di Tawau, Sabah dan menjangkiti 11 kes," katanya.

Bagi kluster keagamaan, Dr Noor Hisham berkata, ia dikesan di daerah Gombak iaitu Kluster Kundang Jaya yang menjangkiti 36 kes serta Kluster Parit Kassan Jegol di Batu Pahat yang menjangkiti 22 kes.

Selain itu, katanya, Kluster Sungai Langgas di Kunak, Sabah menjangkiti 19 kes serta Kluster Jalan Kuak Luar yang dikesan di Hulu Perak dan Cheras serta menjangkiti 22 kes," katanya.

Bagi kluster di tempat kerja, beliau berkata, ia dikenali sebagai Kluster Jalan Jambu Bol (Petaling, Hulu Langat, Kuala Selangor dan Klang) yang menjangkiti 12 kes.

"Selain itu Kluster Jalan Kusta (Gombak dan Petaling) menjangkiti 70 kes serta Kluster Dah Serdang (Bandar Baharu dan Kulim) yang menjangkiti 16 kes," katanya.

Dr Noor Hisham memaklumkan, sehingga jam 12 tengah hari ini, sebanyak 2,784 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kepada 429,103 kes.

Berita Harian X