Isnin, 17 Mei 2021 | 5:40pm
Keadaan banjir di sekitar Sungai Putat, Melaka. - Foto NSTP/Syafeeq Ahmad
Keadaan banjir di sekitar Sungai Putat, Melaka. - Foto NSTP/Syafeeq Ahmad

Rumah Saloma banjir

MELAKA: "Situasi ketika itu amat panik dan mencemaskan. Air naik dengan begitu cepat, saya bimbang keadaan emak yang sudah uzur. Sebaik menyedari kehadiran bomba saya bergegas minta bantuan mereka untuk selamatkan emak kerana air sudah mencecah paras pinggang," kata mangsa banjir dari Kampung Sungai Putat, Saloma Md Said.

Menurut Saloma, 44, sebelum kejadian dia ke tempat kerja untuk mengambil barang sebelum anak saudaranya menghubungi kira-kira jam 8 pagi memintanya pulang kerana paras air sungai naik mendadak.

"Arus air amat laju dan hanya berdoa agar saya serta ahli keluarga dilindungi. Dengan air yang sudah paras pinggang saya hanya mampu selamatkan dokumen penting sahaja," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir, Batu Berendam, hari ini.

Menurutnya, sepanjang 18 tahun menetap di situ, banjir kilat pagi hari ini adalah yang paling teruk selepas insiden pada 2004.

Seorang lagi mangsa banjir Hazman Mohd Dom, 60, berkata banjir kilat hari ini adalah yang pertama berlaku membabitkan kediamannya sepanjang 21 tahun menetap di situ sehingga terpaksa berpindah ke PPS.

"Sebelum ini air akan melimpah di kawasan laman dan beranda rumah tetapi sebaliknya berlaku pagi ini. Dengan keadaan bertongkat disebabkan keadaan kaki yang sakit saya bersama isteri dan dua hanya bergegas keluar selain saya hanya mampu mencapai beg sandang," katanya.

Operasi pemindahan mangsa banjir di kawasan Sungai Putat, Melaka. - Foto NSTP/Syafeeq Ahmad
Operasi pemindahan mangsa banjir di kawasan Sungai Putat, Melaka. - Foto NSTP/Syafeeq Ahmad

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra, berkata 159 mangsa banjir di negeri ini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Empat PPS dibuka membabitkan tiga di daerah Melaka Tengah dan satu di Alor Gajah. PPS yang dibuka di daerah Melaka Tengah adalah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir membabitkan seramai 35 mangsa daripada lapan keluarga; PPS SMK Bukit Rambai merekodkan 19 keluarga dengan 88 mangsa dan PPS Sekolah Rendah Agama (SRA) Tanjung Minyak masih dalam proses pengiraan.

"Bagi daerah Alor Gajah, satu PPS dibuka iaitu di Dewan Japerun Durian Tunggal, menempatkan 36 mangsa daripada lapan keluarga," katanya.

Berita Harian X