Ahad, 16 Mei 2021 | 9:46pm

Isteri anggota polis ziarah suami bertugas kena kompaun RM2,000

PUTRAJAYA: Isteri anggota polis yang tular di media sosial kerana menziarah suaminya di sekatan jalan raya Persiaran Selatan hala keluar ke Dengkil, di sini pada 13 Mei lalu, sudah dikompaun RM2,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Fadzil Ali, berkata kompaun dikeluarkan semalam mengikut Peraturan 17 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 (PU (A) 225/2021) kerana melanggar SOP PKP dengan menziarah suami di sekatan jalan raya.

"Siasatan lanjut dijalankan dan mendapati anggota itu serta keluarganya tinggal dalam daerah Putrajaya. Isteri dan anak-anak anggota terbabit datang menaiki dua kenderaan untuk singgah sebentar bagi menyerahkan juadah hari raya kerana suaminya bertugas pada pagi itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan 17 (PU a 225/20212) Ziarah Hari Raya Aidilfitri (No 21 Kesalahan-kesalahan Lain Yang Diperuntukkan Dalam SOP Yang Dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana pelanggaran SOP PKP.

Bagi dakwaan menaiki kenderaan melebihi had tiga orang, beliau berkata, tiada kompaun dikeluarkan kerana wanita itu dan tiga anaknya menaiki dua kenderaan berbeza.

"Pada awalnya, perbuatan itu dilihat sebagai satu tanggungjawab isteri untuk memberi sokongan moral kepada suami yang sedang bertugas dengan menghantar juadah di pagi raya.

"Namun, kepentingan awam adalah melebihi kepentingan individu dan pihak polis tidak mahu perbuatan sedemikian dijadikan alasan oleh semua ahli keluarga petugas untuk melawat di lapangan pada hari raya atau pun hari biasa," katanya.

Fazil menegaskan, polis tidak berkompromi sekiranya berlaku sebarang pelanggaran SOP PKP dan akan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja termasuk anggotanya yang melakukan kesalahan.

Khamis lalu, tular di media sosial gambar seorang wanita bersama tiga anak menziarahi suami yang juga anggota polis di sekatan jalan raya di Persiaran Selatan arah keluar Putrajaya ke Dengkil.

Berita Harian X